Showing posts with label Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Malaysia. Show all posts

(Video) Gelagat Comel Dua Sahabat Baik Bertemu Selepas Berbulan Terpisah Kerana ‘Lockdown’

by

GELAGAT comel sepasang sahabat cilik yang berpelukan ketika bertemu selepas beberapa bulan 'terpisah' gara-gara perintah berkurung (lockdown), mencuri perhatian netizen.

Video tersebut dirakamkan oleh ibu kepada salah seorang kanak-kanak berkenaan.

Riak wajah dan reaksi kedua-dua sahabat baik itu yang langsung tidak menduga akan bertemu, begitu mencairkan hati netizen.








Menerusi video berkenaan, kelihatan kedua-duanya berlari sebaik sahaja terperasan kelibat wajah antara satu sama lain.

Mereka lantas berpelukan dan melompat kegembiraan sambil diperhatikan oleh ibu masing-masing.

Kedua-duanya yang berusia tiga tahun dan berasal dari New York, menjadi sahabat baik sejak bertemu di pusat jagaan dua tahun lalu. - Mirror.co.uk

Sumber : Mstar

Mantan Menteri Kewangan Cadang Lanjut Tempoh Moratorium 6 Bulan Lagi

by

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng mencadangkan supaya kerajaan melanjutkan tempoh moratorium ke atas pinjaman bank yang akan berakhir September ini.

Katanya, kerajaan perlu melanjutkan tempohnya 6 bulan lagi sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.

“Kadar pengangguran telah naik mendadak dari 3.2% pada bulan Januari kepada 5.0% pada bulan April 2020.

“Kadar bulan April ini adalah yang tertinggi dalam beberapa dekad. Ia akan naik lebih tinggi lagi kerana banyak syarikat masih lagi dalam proses memberhentikan pekerja mereka.




“Pada kala keadaan ekonomi yang semakin teruk, ramai rakyat Malaysia dan banyak perniagaan tempatan tidak bersedia untuk menghadapi tamatnya tempoh moratorium ke atas bayaran balik pinjaman mereka.

“Saya berharap kerajaan akan melanjutkan tempoh moratorium sehingga ekonomi negara mula pulih. Sebarang pelanjutan akan membantu rakyat biasa merancang obligasi kewangan mereka dengan lebih baik, dan meringankan sebarang kesukaran hidup.

“Tiada gunanya kita memufliskan sesiapa dan memburukkan kemelesetan ekonomi yang kita harungi bersama sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan mampu melakukannya, termasuk dari segi kos kewangan jika moratarium itu dilanjutkan.


“Menurut perdana menteri, moratorium selama 6 bulan ini dianggarkan bernilai RM100 bilion. Seperti yang dilaporkan oleh menteri kewangan, sebanyak RM47.5 bilion dimanfaatkan setakat 19 Jun 2020. Saya yakin lebih banyak boleh dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan moratorium 6 bulan ke atas bayaran balik pinjaman bank dari 1 April hingga 30 September 2020 berikutan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menjejaskan ekonomi rakyat.

Bulan lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sedang berbincang dengan bank bagi melanjutkan tempoh moratorium tersebut.

Beliau berkata, ini berikutan banyak permintaan daripada orang ramai supaya tempoh moratorium yang dijadual berakhir September ini dilanjutkan.

Zafrul bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada budi bicara pihak bank.

Sumber : gempak.com

Tinggal Sebumbung Dengan Tunang? Ayda Jebat Dan Nabil Mahir Tampil Beri Penjelasan

by

LEBIH dua bulan mengikat tali pertunangan, pasangan pelakon Ayda Jebat dan Nabil Mahir kelihatan semakin mesra apabila banyak menghabiskan masa bersama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Namun yang kurang menariknya apabila netizen mula berteka-teki sama ada mereka tinggal serumah kerana kerap berkongsi perkembangan bersama di laman sosial.

“Seronoknya… belum kahwin boleh satu rumah walaupun realiti ada ramai di rumah, ni berdua saja dalam video.

“Dulu-dulu aku bertunang jangan harap dapat jumpa macam ni selalu,” komen seorang netizen.





Nabil dan Ayda sering berkongsi foto dan video mereka di kediaman yang sama.

Bagaimanapun kembimbangan yang dibangkitkan netizen terjawab apabila Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 28, membalas komen berhubung isu berkenaan.

Pelakon drama Bukan Gadis Biasa ini berkata dia masih tidak berani untuk keluar rumah dalam keadaan pandemqik Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Kita masih tak berani nak keluar sangat… takut.

“Jadi, lebih baik jumpa, mesyuarat, penggambaran di rumah. Lebih selamat dan selesa. Tak perlu pakai mask dan sanitizer,” tulis Ayda.

Ayda dan Nabil mengikat tali pertunangan secara dalam talian (online) pada 28 April lalu.

Kisah perhubungan pasangan selebriti ini mula menjadi perbualan hangat netizen apabila Ayda berkongsi foto cincin lamaran yang diterimanya semasa ulang tahun kelahiran ke-28 pada 18 Mac lalu.


Sumber : Mstar

Datuk Siti dan Datuk K Teruskan Usaha Untuk Dapatkan Anak Kedua

by

Meskipun sibuk dengan pelancaran album terbarunya berjudul ManifestaSITI2020 , bagaimanapun Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap akan meneruskan usaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua yang diidamkan tahun ini.

Siti berkata dia tidak berhasrat untuk menangguhkan impian tersebut memandangkan sudah cukup bersedia ke arah itu. Ujarnya lagi, dia bukan lagi semakin muda dan perkara itu tidak boleh dilambat-lambatkan.

Usaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua akan tetap diteruskan seperti apa yang pernah saya kongsikan sebelum ini.

“Sama ada menerusi kaedah rawatan ataupun secara normal, hasrat ini tetap ada kerana saya sudah lama bersedia.




“Bagi saya, kerja tetap perlu berjalan dan hal keluarga pun mesti diteruskan. Lagipun, saya bukan semakin muda. Buat apa nak tangguh-tangguh,” katanya kepada Harian Metro.

Februari lalu, Siti menjalani pembedahan kecil di sebuah pusat perubatan swasta sebagai persediaan hamil. Prosedur itu dilakukan kerana Siti mengguna kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) seperti yang dilakukannya ketika mengandungkan Siti Aafiyah, tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, aebelum ini Siti juga menyatakan hasratnya untuk menimang anak lelaki pula. Bagaimanapun, dia menyerahkan rezeki zuriat itu kepada Allah dan cukup bersyukur jika diizinkan untuk hamil lagi.

“Kalau boleh nak sepasang iaitu lelaki pula lepas ini. Lagi pun, dah ada perempuan. Tapi, saya tetap berserah kepada Allah.

“Apa pun yang Allah berikan, saya bersyukur. Asalkan Allah izin saya hamil, saya terima saja sama ada anak lelaki atau perempuan,” katanya.

Sumber : gempak.com

Baru 12 Tahun Mampu Beli Vellfire, Ibu Alyssa Kecewa Dituduh Menumpang Kesenangan Anak

by

Baru-baru ini hangat mengenai penyanyi dan bintang Youtube, Aryanna Alyssa Dezek yang berjaya membeli kereta idamannya Toyota Vellfire pada usia 12 tahun. Tidak menyangka mampu memiliki kereta itu pada usia muda dan mahu menghargai diri selepas bekerja keras.

Bagaimanapun, ada pula isu tidak sedap didengar apabila ada segelintir netizen menuduh ibu bapa kanak-kanak itu tidaak pandai menguruskan duit anak mereka kerana membeli kereta bukanlah pelaburan yang wajar.






Tampil menjelaskan perkara itu, ibu Alyssa iaitu Suzanne Dezek berkata mereka menghormati anaknya itu yang mahukan sebuah kenderaan bagi memudahkan perjalanan kerjayanya dan keselesaan apabila berjalan jauh.

“Pada saya duit tu duit dia, jadi dia yang nak beli Vellfire untuk memudahkan dia pergi penggambaran dan travel jauh untuk keselesaan dia.

“Bab rumah tu kita dah sediakan untuk Alyssa dan adik. Suami saya dah belikan. Simpanan pun memang ada untuk dia sambung belajar,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Suzanne turut meluahkan rasa kecewa apabila ada netizen menganggap dia dan suaminya mahu menumpang kesenangan anaknya itu. Jelasnya, mereka tidak perlu bergantung pada pendapatan anaknya itu kerana suaminya bekerja sebagai ketua jurutera kapal.

“Sebab rata-rata netizen cakap saya dan suami yang nak pakai kereta tu. Padahal tu kehendak dia sendiri, mungkin mereka tak tahu ayah Alyssa bekerja sebagai ketua jurutera kapal. Ayah dia pun mampu,” luahnya.

Bagaimanapun, Suzanne berkata dia tidak mengendahkan segala kecaman dan tidak menyalahkan netizen yang tidak mengetahui tentang latar belakang keluarga mereka.

“Tak apa la itu hak mereka nak komen apa pun, mungkin mereka tak tahu siapa ayah Alyssa. Yang kenal rapat dengan keluarga kami saja yang tahu. Saya fikir positif sahaja,” katanya.

Sumber : gempak.com

Diganggu Makhluk Halus Kerana Tak Sedar Beli Baju Bundle Mangsa Maut Kemalangan

by

Setiap individu mempunyai hobi yang berbeza. Kini, ramai yang gemar membeli barangan bundle seperti pakaian. Harga bukan jadi persoalan kerana segelintir pengguna suka akan koleksi baju terpakai yang cantik, vintage dan old-school.

Namun, pernahkah anda mendengar kisah tentang pembeli baju di bundle telah diganggu oleh mahkluk halus?

Menurut seorang pengguna Twitter yang bernama Tuan Nur Aisyah, dia mendedahkan rakan baiknya, Aziatul yang merupakan penggemar barang terpakai telah diganggu oleh makhluk halus selepas membeli pakaian di sebuah kedai bundle.

Ketika hari kejadian, Aisyah tidak menemani kawannya itu namun diberitahu selepas mengalami mimpi yang ngeri.

"Kawan saya ada pergi ke satu kedai bundle ni dekat Raub. Kemudian dia beli satu baju hoodie yang cantik tapi dekat bahagian tengkuk ada tanda merah macam darah la. Jadi dia beli dan balik basuh hilang kesan darah tu.



"Macam biasa lah kami keluar bergambar semua okay ja tapi satu hari dia mimpi yang ada orang cari dia. Dia kata, aku nak barang aku. Dia terkejut dan terjaga pukul 3 pagi dan terus WhatsApp cakap tak boleh tidur.

"Hari kedua pun macam tu. Sampai seminggu dia dah tak tahan kenapa dia mimpi macam tu. Jadi, bagitau mak dia terus bawa jumpa ustaz. Ustaz tanya la macam-macam, ada pergi tempt tak elok ke waktu maghrib? Ada usik barang orang ke? Ada bawak balik barang yang tak sepatutnya ke?

"Ustaz tanya juga ada beli barang-barang dari kawan atau kat kedai pelik. Kawan saya cakap tak ada. Puas fikir sampai nk tercabut otak hahaha. Lepastu saya cakap lah, haritu beli baju bundle kan. Kau cakap ada kesan darah dekat tengkuk baju tu.

"Kami jumpa balik ustaz bagitau pasal baju tu. Ustaz pun cakap "kalau macam tu kita pergi jumpa tuan kedai". Kawan saya setiap malam tidur dengan adik-adik dia sebab takut. Tiap malam kibas katil, lepastu renjis air yang sudah dibaca ustaz," kongsinya.

Tambah Aisyah, 21, mereka nekad untuk bertemu dengan pemilik kedai itu untuk mengetahui tentang asal usul pakaian tersebut.

Setibanya di kedai, mereka mengetahui pakaian itu merupakan milik seorang mangsa kemalangan jalan raya.

"Esok tu kitorang pergi balik kedai bundle. Tanya pekerja dia tapi dia cakap memang ambik stok kt luarlah apa bagai. Lepastu ustaz nk jumpa pemilik bundle tu. Nak jadikan rezeki masa tu memang pemilik dia ada kt kedai.

"Pemilik (perampuan) tu dia cakap tak tau. Dia cuma cakap selalu stok baju-baju ni suami dia yang selesaikan. Sekali panjang umur suami dia datng. Jadi ustaz jelaskan apa jadi kat kawan saya.

"Dia cakap baju yang dia ambik tu baju dari orang yang meninggal akibat kemalangan motosikal. Ustaz tanya lah macam mana dia amik dan dia pun cerita lah kesemuanya.

"Ustaz pun cakap "kalau awak tau siapa tuan punya baju, lebih baik awak pulangkan secepat mungkin". Lepas dengar tu seminggu dia tak boleh tidur sebab terfikir pakai baju orang yang dah meninggal.

"Ustaz rawat kawan saya selama seminggu dan kami pun pulangkan terus baju tu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Aisyah menyatakan walaupun kejadian itu terjadi pada tahun 2017 namun masih segar di ingatannya.

Malah, mereka berdua akan teliti dulu sebelum membeli pakaian bundle untuk menghindari daripada terjadi perkara yang sama.

Sumber : gempak.com

Keluarga Ini Raikan Kejayaan Liverpool Di Pusara Ayah

by

Seorang pemuda mencuri perhatian wargamaya apabila keluarganya menziarahi pusara bapa sambil meraikan kejayaan pasukan bola sepak kegemaran Liverpool.

Menerusi laman sosial Twitter, pemuda dengan nama Hafriz berkongsi foto abang dan adiknya menziarah kubur bapa mereka bersama jersi pasukan Liverpool untuk tontonan umum.



“Arwah bapa meninggal awal tahun ni. Kami sekeluarga memang minat sangat dengan pasukan Liverpool.



“Abang dan adik saya pergi menziarah kubur bapa sebab kami nak berkongsi kegembiraan kemenangan pasukan ni,” jelas Hafriz ketika dihubungi .

Sempat menceritakan kenangan manis bersama bapa, mereka berkongsi banyak momen indah sebagai penyokong gergasi bola sepak England itu.

“Momen best memang banyak, kami selalu tonton perlawanan bola ramai-ramai di rumah.

“Waktu bapa sakit pun dia bangun awal pagi sebab nak tengok pasukan Liverpool main, memang dia suka tengok bola,” jelas Hafriz lagi.



Perkongsian foto Hafriz itu sehingga kini telah menerima hampir 4,000 ulang kicau dan 8,000 tanda suka daripada warga Twitter.

Awal pagi tadi, Liverpool disahkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila pesaing di tangga kedua, Manchester City tumpas kepada Chelsea dalam satu lagi perlawanan.

Ia merupakan suatu penantian yang bermakna buat seluruh penyokong The Reds selepas 30 tahun pasukan itu sepi tanpa gelaran juara EPL.

Sumber : gempak.com

Tinggal Rumah Atas Air, Tapi Cara Wanita Ini Jaga Keadaan Rumah Sangat Dipuji

by

Apa jua tahap kemampuan kita, menjaga kebersihan adalah penting untuk diterapkan dalam kehidupan.

Itulah yang diamalkan keluarga yang hanya tinggal di rumah atas air serta berdindingkan kayu dan berbumbungkan zink.

Wanita yang dikenali sebagai Mariyah Ghazali menerusi akaun Facebook miliknya memuat naik foto dekorasi rumahnya yang kelihatan sangat bersih dan kemas.

Mariyah berkongsi foto-foto tersebut di akaun page Kelab Kaki Deco Kaison, Ikea, Romantika, Eco dan Mr DIY



“Dah siap, walaupun kami tak mewah tapi rasa bahagia yang mana ada. Semua barang Eco, buat sendiri..Hidup ini jangan banding dengan orang lain.

“Cara bahagia masing-masing, yang penting kita selesa dan tenang,” tulisnya.

Entri tersebut tular dan mendapat perhatian netizen yang menurunkan 2800 komen dan 3300 perkongsian.


Rata-rata memuji cara Mariyah mengemas rumahnya yang kelihatan sangat bersih dan kemas.


Malah, ramai yang memuji sikap Mariyah sentiasa bersyukur dan bahagia walaupun tidak hidup mewah.

“Alhamdulillah walaupun kecil kemas sahaja.

“Bersih dan kemas...walau tidak mewah...tapi sangat selesa suasananya...

“Tak kaya tak apa, janji kemas dan bersih,” antara komen netizen yang diturunkan.

Sumber : gempak.com

'Mat Rempit' Kena Denda Tolak Motosikal Ke Balai

by

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) belum pun tamat, namun 'mat dan minah rempit' sudah berani berkumpul, membuat bising dan menjadikan kawasan rekreasi Tasik Biru Kuang 'port' dekat Rawang sebagai lokasi lumba motosikal.

Semalam, satu video mereka 'konvoi' sambil menolak motosikal masing-masing beramai-ramai tersebar di media sosial di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Safa'aton Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya mengadakan Operasi Khas Samseng Jalanan berikutan banyak aduan awam diterima mengenainya.




"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menerima banyak aduan dan rungutan berkaitan 'mat-mat motor' yang menjadikan lokasi ini sebagai tempat untuk berlumba dan membuat bising," katanya.

Berikutan aduan itu katanya, satu operasi diadakan pada Ahad lalu, antara 5 petang hingga 11 malam di kawasan terbabit.

"Hasil operasi yang dijalankan, sebanyak 209 saman dikeluarkan, manakala 59 motosikal disita atas kesalahan tiada lesen memandu dan ubahsuai motosikal.

"Jumlah keseluruhan yang diperiksa membabitkan 200 lelaki dan 28 wanita yang berumur antara 14 hingga 21 tahun," katanya.

Berhubung dengan video yang diviralkan itu pula katanya, mereka menolak motosikal masing-masing pada jarak antara 200 hingga 300 meter dari kawasan terbabit ke Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Sri Kundang untuk proses dokumentasi.

Shafa'aton berkata, IPD Sg Buloh akan membuat operasi khas seumpama itu secara berkala dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengganggu gugat ketenteraman awam.

Sumber : HMetro

PH Penakut Tak Bertanding PRK Chini - Kamarul Zaman Yusoff

by


Seorang penganalisis politik menyifatkan Pakatan Harapan (PH) penakut kerana tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, sedangkan ia patut bertanding untuk mengaktifkan jentera parti selepas desas-desus berhubung pilihan raya umum mengejutkan.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata BN dijangka memenangi PRK Chini, cuma yang menjadi persoalannya sama ada 2 calon bebas itu akan hilang deposit mereka.


“Satu kerugian besar bila PH tidak meletakkan calon kerana ia menidakkan peluang untuk mengukur kekuatan PH dan kesepaduan Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.

“Jika ada calon bebas yang mampu kekalkan wang pertaruhan, maka ini boleh digunakan PH sebagai petunjuk untuk memperkecilkan pengaruh BN kerana dalam PRU14 calon PH hilang wang pertaruhan.”




PRK Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN, Mohd Sharim Md Zain bersama 2 calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Chini antara 4 kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Abu Bakar yang mewakili BN pada PRU 2018 meraih majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili PH yang meraih 1,065 undi.


Sementara itu, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PRK Chini peluang terbaik BN dan Umno mempamerkan kekuatannya dalam PN.

“Ini adalah kerana kemenangan besar di Chini boleh dijadikan modal rundingan kerusi PRU15, jika BN berada dalam PN menjelang PRU akan datang.

“Ada juga yang membuat telahan keputusan Chini akan pamer kekuatan PN, tetapi perlu berhati-hati kerana salah seorang calon bebas mempunyai kaitan yang agak kuat dengan PPBM.”

Disebabkan pencabar BN ialah 2 calon bebas, katanya, parti itu perlu meraih majoriti besar, melebihi majoriti pada PRU14.

“Mengapa jumlah majoriti adalah penting? Ia kerana Umno khususnya dan Muafakat Nasional (MN) amnya mempunyai pengaruh kukuh di kalangan pengundi Melayu luar bandar.

“Senario politik ketika PRK Tanjung Piai adalah berbeza ketika ini kerana BN dan MN sudah berada dalam PN, iaitu sebahagian daripada kerajaan.”

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, PRK Chini memperlihatkan kesan besar kerjasama PPBM dan MN atas nama PN.

“Keputusan PH tak bertanding akan menyebabkan undi tersebut beralih kepada 2 calon bebas.

“Namun, isu calon perdana menteri PH dijangka menyebabkan ramai penyokong PH protes tak mahu keluar mengundi atau tukar undi kepada BN.”

Sumber : freemalaysiatoday

Elak Ditipu! Inilah Cara Kesan Ayam Mentah Yang Disuntik

by

Daging ayam boleh dikatakan antara makanan kegemaran rakyat Malaysia.

Namun tahukah bahawa ada segelintir peniaga mengguna cecair suntikan ke dalam makanan mentah berdaging dan itu bukanlah satu perkara yang baru.

Dikenali sebagai teknik ‘plumping’, sesetengah peniaga menggunakan cara tersebut untuk mengaut keuntungan.

Peniaga menyuntik cecair gram, stok ayam dan bahan kimia ke dalam ayam untuk mengekalkan kesegaran dan rasanya.





Oleh hal demikian, Facebook rasmi Public Health Malaysia berkongsi tips untuk mengesan daging ayam yang telah disuntik sebagai panduan kepada orang ramai.


1.Air menitis dengan banyak apabila digantung atau diangkat.

2.Keluar air dengan banyak apabila dimasak.

3.Air bergenang disekitar apabila diletak.

4.Kulit ayam kelihatan berkilat dan tidak kesat

5.Daging mengecut apabila dimasak

Sumber : gempak.com

RM1 Juta Satu Tapak Niaga

by

RM500,000 hingga RM1 juta. Itu harga satu tapak niaga di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) yang dijual pemiliknya kepada warga asing mahu berniaga di lokasi tumpuan umum itu sejak lebih lima tahun lalu.

Pemegang lesen tapak itu menyasarkan warga asing dari Myanmar dan Bangladesh sebagai pembeli kerana keupayaan kewangan kumpulan itu yang tinggi dan mampu membayar jumlah yang ditawarkan.

Ibarat pisang goreng panas, warga asing hanya menanti peluang pemegang lesen warga tempatan untuk menjual tapak kepada mereka kerana tahu hasil keuntungan jualan yang boleh dikaut mencecah jutaan ringgit setahun.

Mendedahkan senario itu kepada Harian Metro, sumber berkata, kegiatan itu bukan lagi rahsia dalam kalangan peniaga kerana sebelum ini pasar borong utama negara itu sememangnya dimonopoli warga asing.




Menurutnya, harga tinggi ditawar tidak menjadi masalah untuk dibayar warga asing kerana mereka ada 'konsortium' yang mampu mengumpul dana sebanyak itu.

"Pemegang lesen warga tempatan mahu kaut untung mudah dengan jual kepada warga asing. Namun untuk pastikan kegiatan mereka sukar dikesan, segala urusan membabitkan lesen dan permit pihak berkuasa tempatan (PBT) diurus pemegang lesen.

"Pembeli tapak warga asing pula hanya perlu bayar secara one-off (bayar sekali gus) jumlah yang dipersetujui dan segala urusan PBT akan diuruskan pemegang lesen manakala warga asing akan menyamar sebagai pekerja jika pemeriksaan mengejut dijalankan," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, sumber berkata, warga asing sememangnya mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh kerana mampu menerima upah RM300 hingga RM500 sehari sekiranya bekerja di pasar borong dan Pasar Harian Selayang.

Katanya, daripada pendapatan diterima, ia dikumpul bersama beberapa lagi rakan senegara sehingga cukup sebelum mencari pemilik tempatan mahu menawarkan tapak kepada mereka.

"Keuntungan mencecah jutaan ringgit kerana menjadi pemborong bahan mentah seperti ikan, ayam, daging dan sayuran menyebabkan warga asing tidak kisah membuat pelaburan tinggi hanya sebuah tapak.

"Jika mereka sudah ada tapak, tiada masalah mendapatkan pelanggan kerana PBKL dan Pasar Harian Selayang menjadi tumpuan umum peniaga seluruh negara mendapatkan bekalan," katanya.

Beliau berkata, dakwaan itu mempunyai asas kerana masih ada sekurang-kurangnya 50 tapak pasar borong dan 100 tapak pasar harian masih lagi 'tidak berpenghuni' kerana pemiliknya adalah warga asing yang kini sudah tidak dibenarkan berniaga.

Katanya, pemilik tapak pula tidak mempunyai pekerja untuk menguruskan tapak berkenaan dan ia sudah lebih sebulan dibiarkan kosong selepas operasi menggempur warga asing dijalankan di sekitar PBKL susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana Covid-19.

Tambahnya, tapak dibiar kosong itu sepatutnya tidak berlaku sekiranya pemegang lesen individu yang berniaga namun ia ditukar milik kepada warga asing demi untung mudah.

"Jika keadaan ini berterusan sudah pasti ia akan menutup peluang warga tempatan yang mahu berniaga kerana pemiliknya menjual tapak kepada warga asing seterusnya ekonomi setempat akan dimonopoli orang asing berbanding warga tempatan," katanya.

Sukar kesan sindiket guna operandi licik


DewanBandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menafikan wujudnya aktiviti penjualan tapak Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) oleh warga tempatan kepada warga asing dengan nilai mencecah RM1 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, modus operandi licik menyebabkan aktiviti haram itu sukar dikesan dan dibuktikan.

Menurutnya, berdasarkan Undang-Undang Kecil (UUK) Pasar Borong Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2002, UKK Pelesenan Pasar Borong WPKL 2016 dan UKK Pelesenan Penjaja WPKL 2016, hanya warga tempatan dibenarkan berniaga di lokasi berkenaan.

"Bermula 6 Mei lalu, DBKL memperkasakan UKK Pasar Borong WPKL 2002, pemegang lesen dibenar menggaji warga tempatan sebagai pembantu yang diluluskan Datuk Bandar.

"Berdasarkan peruntukan sama, Datuk Bandar ada kuasa mutlak untuk melulus atau menolak permohonan lesen mana-mana individu yang memohon," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, bagi memastikan tiada penyalahgunaan lesen, DBKL menjalankan bancian ke atas pelesen dan pembantu di pasar borong bermula 18 Mei lalu dan tindakan penguatkuasaan diambil sekiranya warga asing diambil bekerja.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan terus dilaksana bagi mengekang warga asing bekerja di pasar borong sejajar arahan kerajaan dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

"DBKL beri jaminan tindakan menjual tapak kepada warga asing dapat diatasi dengan kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat terus kepada agensi ini atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Pengkhianat' bunuh ekonomi


Pengkhianat ekonomi. Itu gelaran kepada warga tempatan yang menjual tapak Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) kepada warga asing kerana sanggup membunuh ekonomi domestik demi mengaut keuntungan atas angin berkali ganda.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Sesi Pasar Borong Harian Selayang, Mohammad Pandu Insani Yahya berkata, tindakan itu menyebabkan peniaga tempatan terus 'merempat' di bumi sendiri sedangkan warga asing memiliki tempat selesa.

Menurutnya, walaupun jumlah tinggi diterima namun untuk tempoh masa panjang ia dianggap tidak berbaloi dengan hasil diperoleh sekiranya warga tempatan mengusahakan tapak pasar borong untuk menjadi pemborong.

"Tindakan tegas perlu diambil Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada warga tempatan yang menjual tapak kepada warga asing kerana sikap itu menyebabkan peniaga tempatan tiada peluang membangunkan ekonomi.

"Jika dilihat di sekitar Pasar Harian Selayang ramai peniaga tempatan menjaja di tepi jalan secara haram kerana usaha mendapat lesen sukar selain tidak berpeluang mendapat tapak di dalam pasar borong. Jadi lebih baik mereka diberi lesen berniaga di PBKL," katanya.

Sehingga kini, ada 448 tapak di PBKL dan kini dianggarkan lebih 50 tapak kosong kerana dipercayai dijual pemilik tapak kepada warga asing yang tidak dibenarkan berniaga sejak kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, DBKL perlu serius menjalankan penguatkuasaan dan menarik lesen pemilik yang dikesan menjual tapak kepada warga asing selain memberi tempoh supaya mereka kembali beroperasi semula.

Katanya, persatuan berharap lebih ramai warga tempatan boleh mendapat tapak untuk berniaga selepas kerajaan menguatkuasakan peraturan baru supaya aktiviti perniagaan dan pekerjaan di pasar borong hanya terbuka kepada warga tempatan.

Sumber : HMetro

18 Anggota Penguatkuasa Ditahan Seludup Pendatang Asing

by

POLIS Johor menahan 18 anggota penguatkuasa termasuk seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini, sejak 2017.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata penahanan 19 anggota penguatkuasa itu susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan PATI dalam operasi pada 4 Jun lalu.

"Hasil maklumat yang diperolehi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Johor (JSJJ) melancarkan operasi susulan pada Isnin hingga awal pagi tadi dan berjaya menahan 18 anggota penguatkuasa termasuk seorang pegawai kanan polis negeri ini.




"Kesemua suspek membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini, seorang anggota pangkat rendah Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, anggota pangkat rendah bertugas di Bukit Aman (dua) dan anggota pangkat rendah bertugas di IPD Kota Tinggi (sembilan).

"Polis Johor turut menahan dua pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Sumber : Hmetro

Bersatu, Bersatulah, Saya Orang Baru - Azmin

by

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata tidak timbul isu penubuhan parti politik baru.

Sebaliknya, Azmin berkata tumpuannya adalah hal kebajikan dan perkhidmatan kepada rakyat.

"Tak timbul soal membuka parti politik baru ketika ini kerana tumpuan kita ialah memberikan khidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah cemerlang di Menara MITI di Kuala Lumpur hari ini.



Terdahulu, beliau diminta mengulas spekulasi bahawa beliau akan menubuhkan parti baru iaitu, Parti Keadilan Negara.

Sementara itu, Azmin turut diminta mengulas mengenai status penyertaannya dalam Bersatu.

Tanpa menjelaskan lanjut, beliau hanya menjawab, "Bersatu, Bersatulah, saya orang baru. Proses itu kena lalui."

Untuk rekod, pada 23 Mei, Setiausaha Agung Bersatu yang dipertikai jawatannya, Marzuki Yahya berkata Azmin dan sembilan lagi ahli parlimen yang meninggalkan parti PKR belum menyerahkan borang keahlian mereka untuk menyertai Bersatu.




Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Bersatu mengesahkan penyertaan Azmin dan sembilan ahli parlimen itu ketika sidang media pada 11 Mac, iaitu selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin hari ini juga menafikan penubuhan parti baru tersebut oleh Azmin.

Hamzah berkata, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sendiri tiada menerima sebarang permohonan penubuhan parti baru dari bekas timblan presiden PKR itu.

Sumber : Malaysiakini

Adik Zahid Beli 2 Banglo RM5.9 Juta Guna Cek Akaun Pemegang Amanah

by

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu adik Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi membeli 2 banglo di Country Heights, Kajang bernilai RM5.9 juta menerusi cek Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-57, Pengarah Bee Garden Holdings Sdn Bhd, Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew, 65, berkata cek itu untuk pembayaran penyelesaian jualan 2 banglo setingkat milik syarikatnya, yang dijual kepada Yayasan Al-Falah dengan Nasaee ialah pengerusi lembaga pemegang amanah yayasan itu.




Beliau berkata, tujuan pembelian 2 banglo menerusi sekeping cek bertarikh 4 Jan 2017 berkaitan keagamaan kerana lokasinya berdekatan surau.

“Datuk Eric ada beritahu pihak yang mahu beli ada kaitan dengan keagamaan, tetapi saya tidak pasti kesahihannya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zaidi: Tadi Tan Sri (Lee) beritahu kenal Datuk Zahid (Ahmad Zahid). Adakah Tan Sri tahu Yayasan Al-Falah yang membeli lot-lot banglo ini ada kaitan dengan Datuk Zahid?

Lee: Saya tahu.

Ahmad Zaidi: Tan Sri tahu atau tak lot-lot tersebut akan ditukarkan untuk tujuan keagamaan, tahfiz atau pun sekolah agama Islam?

Lee: Saya tak tahu dia tukar ke apa. Tapi saya memang tahu bila mereka (Yayasan Al-Falah) beli tanah ini kerana banglo-banglo itu dekat dengan surau, dan ada kaitan pembelian tanah ini dengan surau itu.

Lee yang juga pengasas dan pengerusi Country Heights Holdings Berhad turut bersetuju dengan cadangan Zaidi 2 banglo yang asalnya rumah contoh itu dijual di bawah harga pasaran kerana keadaannya tidak terurus disebabkan lama tidak berpenghuni.

“Kedua-dua rumah itu dijual pada 2017 dengan harga RM150 sekaki.

“Saya bersetuju menjual satu lot pada haga RM3,022,500, kemudian dilaraskan menjadi RM3 juta, manakala satu lagi pada harga RM2,885,250, kemudian dilaraskan menjadi RM2.9 juta.”

Ahli perniagaan itu berkata, perjanjian urusan jual beli itu ditandatangani olehnya dan seorang lagi pengarah Bee Garden Holdings, Nik Hassan Nik Mohd Amin bagi pihak penjual, manakala Nasaee sebagai wakil pembeli.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, saksi itu bersetuju dengan cadangan pengurangan harga banglo itu tiada kena-mengena faktor dekat dengan surau seperti yang dibangktikan pembelaan.

Dalam pertuduhan pengubahan wang haram ke-26, Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian 2 rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co.

Zahid berdepan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, 8 tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Sumber : freemalaysiatoday

Anggota Keselamatan KLIA Tengking Penyanyi Dikenakan Tindakan Disiplin

by

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan sudah mengambil tindakan disiplin terhadap anggota keselamatan penerbangannya susulan insiden melibatkan penyanyi Noorul Huda Abdul Wahab yang mendakwa ditengking baru-baru ini.

MAHB tidak sesekali boleh menerima sikap biadap dilakukan mana-mana kakitangan dan pada masa sama memohon maaf kepada Noorul dan keluarganya atas insiden itu.

“Setelah dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku itu, kami dengan kadar segera melancarkan siasatan, yang mana mengesahkan kejadian seperti itu berlaku sepertimana yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Noorul di Instagram meluahkan rasa kecewa atas layanan anggota keselamatan terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.




MAHB berkata pihaknya komited memberikan pengalaman mesra kepada semua tetamunya dan tidak akan bertoleransi dengan sebarang pelanggaran budaya perkhidmatan walaupun ketika melaksanakan tatacara operasi standard.

“Jika anda memerlukan sebarang bantuan di terminal, dipersilakan untuk menghampiri duta mesra lapangan terbang kami yang memakai selempang ‘May I Help’.

“Di Malaysia Airports, tetamu keutamaan kami. Kami mengalu-alukan sebarang maklum balas berhubung pengalaman anda di lapangan terbang ini, beritahu kami di care@malaysiairports.com.my atau menerusi platform sosial media kami,” katanya.

Sumber : freemalaysiatoday

Juliana Evans Tersenarai 100 Wanita Paling Cantik Di Dunia

by

Dinobatkan antara 100 Wanita Paling Cantik 2020 (Top 100 Most Beautiful Woman) berdasarkan dalam satu undian yang dilakukan laman web Starmometer, Juliana Evans tidak menyangka namanya termasuk dalam senarai berkenaan.

Menurut Juliana, dia sendiri tidak tahu menahu tentang undian tersebut dan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang mengundinya.




“Alhamdulillah, ada yang sudi mengundi saya dan mesti mereka adalah orang-orang Malaysia. Jadi, saya ambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada yang sudi mengundi,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu berkata, dia lebih memilih kecantikan semula jadi dan tumpang gembira apabila ada orang yang menghargai dengan kecantikannya.

“Saya orang yang percayakan kecantikan semulajadi. Jadi, bila ada orang yang menghargai, saya tumpang rasa gembira.

“Apabila usia meningkat, saya tak terlepas daripada berdepan garisan dan kedutan serta masalah kulit yang lain. Namun, itu tak menjadi masalah buat saya,” katanya.

Menerusi undian itu, Juliana berada di tangga ke 72 mengatasi beberapa selebriti Hollywood Emma Stone di tangga ke 75, Taylor Swift di tangga 76 dan Amanda Seyfried ke 78.

Menduduki tangga pertama ialah pelakon Korea Selatan yang popular dengan siri Crash Landing On You, Son Ye-Jin.

Sumber : Rotikaya.com

Daim Bidas Jangkaan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Bahawa Ekonomi Akan Pulih Tahun Depan

by

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menyifatkan masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa ekonomi negara akan kembali pulih tahun depan.

Beliau mempersoalkan jangkaan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang dilaporkan berkata Malaysia boleh menyaksikan fasa pemulihan ekonomi seawal tahun 2021.

Menurut Daim, kemelesetan ekonomi global akibat Covid-19 adalah lebih buruk berbanding krisis ekonomi dunia yang pernah dihadapi sebelum ini.

“Terlalu awal untuk mendakwa yang kita akan berjaya keluar daripada kesulitan tidak lama lagi. Penguncupan ekonomi akan melewatkan progres kita sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi.




“Kita kena ingat yang walaupun KDNK (keluaran dalam negara kasar) kembali pulih pada 1999 selepas (krisis kewangan) 1998, hanya pada 2002 ekonomi kembali ke paras setara sebelum krisis berlaku," katanya seperti dipetik laman The Malaysian Insight.

Bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan PH itu berkata, krisis kali ini lebih buruk berbanding krisis kewangan global 2008, krisis kewangan Asia 1998 dan Kemelesetan Ekonomi Dunia pada era 1930-an.

Dalam laporan itu, Daim turut membangkitkan kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menolak kenyataan Kementerian Kewangan bahawa 70 peratus pekerja sudah kembali bekerja, menyifatkannya “tidak menggambarkan situasi memeritkan di lapangan sekarang”.

Negara kini dalam fasa pemulihan menerusi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), yang menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah sebahagian daripada strategi keluar daripada kawalan pergerakan.

Pada 30 Mei lalu, Tengku Zafrul berkata pembukaan semula ekonomi ketika PKP bersyarat menyaksikan 70 peratus tenaga kerja pelbagai sektor telah kembali bekerja.

Maklum dengan jangkaan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa ekonomi global akan "menguncup" tiga peratus pada tahun ini, beliau berkata Malaysia mempunyai kemampuan untuk memacu pemulihan ekonomi pada tahun depan.

Bagaimanapun Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan bulan lalu menjangkakan lebih dua juta akan hilang pekerjaan.

Kelemahan pentadbiran PH

Mengulas lanjut, Daim berkata keadaan ekonomi diburukkan lagi dengan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang belum nampak penghujungnya.

Berkenaan perkembagan politik negara, Daim berkata kegagalan pentadbiran PH adalah lemah dalam strategi komunikasi dengan rakyat, yang mewujudkan jurang kepercayaan dan akhirnya menjadikan mereka cenderung untuk terpengaruh dengan isu perkauman dan agama yang dimainkan pembangkang pada masa itu.

Selain itu, katanya lagi, PH memiliki "pandangan sempit" berkenaan manifesto PRU14 yang mengandungi janji yang sukar dilaksanakan kerana keadaan kewangan negara pada masa itu.

"Ya, janji mesti ditepati tetapi ketika kita melihat kedudukan kewangan yang ditinggalkan kerajaan selepas PRU14, mustahil untuk menunaikannya dengan segera.

"Kerajaan seharusnya memberi tahu rakyat mengapa mereka tidak dapat memenuhinya," katanya lagi sambil menambah PH akhirnya ditumbangkan beberapa individu yang mahukan kuasa politik demi kepentingan sendiri.

Sumber : Malaysiakini

Intan Najuwa & Razrul Tak Pernah Putus Tunang?

by

Umum mengetahui Intan Najuwa dan Razrul Anwar Rusli yang merupakan seorang ahli perniagaan sudah pun putus tunang pada Februari lalu selepas hampir 10 bulan mengikat tali pertunangan kerana tiada persefahaman.

Bagaimanapun, hubungan mereka menjadi bualan ramai apabila Intan dilihat ada memuat naik fotonya bersandar di bahu seorang lelaki. Meskipun foto yang dikongsikan hanya separuh, namun netizen yakin bahawa lelaki itu adalah bekas tunangnya.

BACA: Intan Najuwa Sahkan Sudah Putus Tunang

Rata-rata netizen membuat spekulasi bahawa pasangan itu sudah pun berbaik dan kembali bersama. Mengulas mengenai perkara itu, Razrul seakan-akan memberi gambaran bahawa hubungan mereka tidak pernah putus dan sentiasa baik sahaja.

“Kami sentiasa baik-baik sahaja. Terima kasih,” katanya ringkas kepada mStar Online.

Setakat ini masih tiada kenyataan dan pengesahan mengenai status hubungan mereka daripada Intan yang mengambil langkah berdiam diri.




Namun menerusi Insta Story, Intan dilihat ada memuat naik status membalas komen netizen yang menuduhnya kembali bercinta dengan Razrul hanya kerana sudah tiada sumber pendapatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Intan berkata meskipun tidak mempunyai penggambaran ketika PKP namun dia masih mampu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Intan turut meminta individu yang membuat tuduhan tidak berasas itu supaya memperbaiki diri.

Sumber : rotikaya.com

Air Ketum Berpotensi Ubati Kemurungan Dan Sebabkan Kemurungan?

by

Ketagihan seseorang individu terhadap pengambilan ‘jus ketum’ atau air ketum boleh mengakibatkan kemurungan sekali gus menjejaskan kualiti hidup mereka untuk jangka masa panjang, kata pakar psikiatri di Hospital Pantai, Sungai Petani.

Dr Mohammad Farris Iman Leong Abdullah berkata walaupun kajian mendapati bahan ‘Mitragynine’ dan ‘7-Hydroxymitragynine’ yang terkandung dalam daun ketum mampu merangsang sistem otak manusia untuk berasa gembira dan teruja, namun ia hanya berkesan dalam tempoh masa pendek.

Menurut beliau, pengambilan air ketum secara berlebihan dan berpanjangan akan menyebabkan seseorang individu itu menjadi ketagih sehingga mereka boleh mengalami kemurungan sekiranya tidak meminum air ketum.




“Dua bahan ini akan buat seseorang itu rasa gembira, teruja dan mahu bersosial. Ia membuatkan mereka rasa seronok untuk jangka masa pendek. Apabila rasa seronok, mereka akan sentiasa ulang dan terus minum secara berterusan sehingga muncul ketagihan,” katanya ketika ditemui Bernama di Sungai Petani, baru-baru ini.

Dr Mohammad Farris berkata ketum sememangnya memiliki potensi untuk mengubati kemurungan, antikeradangan dan ubat penenang, namun pengambilan secara kerap dan berlebihan hanya mengundang kesan negatif kepada seseorang individu itu untuk jangka panjang.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiatri Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia itu juga menarik perhatian bahawa kemurungan disebabkan ketagihan ketum bagaimanapun tidak menjadikan individu itu agresif sehingga mencederakan orang lain atau diri sendiri.

“Setakat ini belum ada kes mahupun hasil kajian menunjukkan kesan ketagihan ketum ini boleh menyebabkan seseorang itu boleh sakit mental ataupun boleh bunuh diri. Ia berlainan dengan pengambilan ganja yang boleh buat seseorang itu jadi skizofrenia,” katanya.

Dr Mohammad Farris berkata meskipun kesan pengambilan ketum tidak seteruk pengambilan ganja, namun orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terjebak meminum air ketum walaupun dengan alasan untuk dijadikan sebagai ubat tradisional.

“Ketum orang selalu sebut sebagai ubat tradisional tetapi mereka tidak sedar kalau digunakan dalam kuantiti yang banyak dan juga kronik, ia boleh jadi ketagih dan ketagihan jadi akan lebih teruk kalau mengambil empat gelas atau lebih dalam sehari,” katanya yang turut menjelaskan pengambilan air ketum boleh menjejaskan fungsi jantung.

Dalam pada itu, Dr Mohammad Farris berkata ketagihan ketum boleh dirawat melalui ubat-ubatan dan psikoterapi serta ubat paling bersesuaian yang kurang kesan sampingan untuk memulihkan penagih ketum ialah ‘Suboxone’.

Sehubungan itu, beliau meminta penagih ketum tampil mendapatkan rawatan sebaiknya dengan pakar dalam kadar segera untuk memastikan ketagihan mereka tidak kronik sekali gus mereka boleh menjalani kehidupan biasa secara normal.

“Ketagihan ketum boleh dipulihkan, tetapi ada risiko untuk mereka mengambil semula ketum. Namun, jika penagih ketum ini ambil ubat dan jalani proses psikoterapi dengan berkesan, mereka boleh pulih dan hilang kebergantungan kepada jus ketum ini,” katanya.

*gambar hanya sebagai hiasan semata-mata 

Sumber : Bernama, Malaysiakini