Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng mencadangkan supaya kerajaan melanjutkan tempoh moratorium ke atas pinjaman bank yang akan berakhir September ini.
Katanya, kerajaan perlu melanjutkan tempohnya 6 bulan lagi sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.
“Kadar pengangguran telah naik mendadak dari 3.2% pada bulan Januari kepada 5.0% pada bulan April 2020.
“Kadar bulan April ini adalah yang tertinggi dalam beberapa dekad. Ia akan naik lebih tinggi lagi kerana banyak syarikat masih lagi dalam proses memberhentikan pekerja mereka.
“Pada kala keadaan ekonomi yang semakin teruk, ramai rakyat Malaysia dan banyak perniagaan tempatan tidak bersedia untuk menghadapi tamatnya tempoh moratorium ke atas bayaran balik pinjaman mereka.
“Saya berharap kerajaan akan melanjutkan tempoh moratorium sehingga ekonomi negara mula pulih. Sebarang pelanjutan akan membantu rakyat biasa merancang obligasi kewangan mereka dengan lebih baik, dan meringankan sebarang kesukaran hidup.
“Tiada gunanya kita memufliskan sesiapa dan memburukkan kemelesetan ekonomi yang kita harungi bersama sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, kerajaan mampu melakukannya, termasuk dari segi kos kewangan jika moratarium itu dilanjutkan.
“Menurut perdana menteri, moratorium selama 6 bulan ini dianggarkan bernilai RM100 bilion. Seperti yang dilaporkan oleh menteri kewangan, sebanyak RM47.5 bilion dimanfaatkan setakat 19 Jun 2020. Saya yakin lebih banyak boleh dilakukan oleh kerajaan,” katanya.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan moratorium 6 bulan ke atas bayaran balik pinjaman bank dari 1 April hingga 30 September 2020 berikutan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menjejaskan ekonomi rakyat.
Bulan lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sedang berbincang dengan bank bagi melanjutkan tempoh moratorium tersebut.
Beliau berkata, ini berikutan banyak permintaan daripada orang ramai supaya tempoh moratorium yang dijadual berakhir September ini dilanjutkan.
Zafrul bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada budi bicara pihak bank.
Sumber : gempak.com