,

Satu Lagi Pasar Besar Dikenakan PKPD


Kerajaan memutuskan kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya diletakkan dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini berikutan terdapat 26 kes polistif Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu yang berakhir sehingga 23 Mei ini dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan kerana kawasan itu berpotensi memberi risiko penularan jangkitan.

“Kementerian Kesihatan telah mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya, Selangor.

“Kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan kelapan PKPD di tiga zon dalam kawasan tersebut mulai hari ini hingga 23 Mei ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Antara penempatan terlibat dalam kawasan PJO itu ialah Zon A membabitkan Jalan Penchala, Jalan 4/33, Jalan 4/37, Jalan 4/39, Jalan 4/41, Jalan 4/44, Jalan Terus 4/42, Jalan 4/43, Jalan 4/46 dan Jalan Othman 4/4D Petaling Jaya.

Bagi kawasan Zon B pula, Jalan 2/29, Jalan 2/29A, Jalan 2/27, Jalan 2/32, Jalan 2/25, Jalan 2/26, Jalan 2/34, Jalan 2/34A, Jalan 2/23, Jalan Dispensary 2/38, dan Jalan Pasar 1/21.

Zon C melibatkan Jalan Selangor, Lorong 3/57D, Lorong 3/57C, Jalan RIDA 3/56, dan Jalan Sentosa 3/57 Petaling Jaya.

Menurut Ismail Sabri, PKPD kawasan itu melibatkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan.




Kata beliau, tujuan PKPD dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh PKPD berkuatkuasa.

“Dengan pelaksanaan perintah ini, semua laluan keluar masuk ditutup. Penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan, manakala bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Semua aktiviti perniagaan pula dihentikan. Bagaimanapun, kita akan buka Pangkalan Perubatan (Medical Base) di kawasan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan untuk mengawal seluruh kawasan berkenaan.

“Kita minta semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan serta mematuhi setiap arahan pihak berkuasa,” katanya.

Kata beliau, penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Petaling Jaya di talian 016-980 9389 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222. – MalaysiaGazette