Showing posts with label Luar Negara. Show all posts
Showing posts with label Luar Negara. Show all posts

Topeng Muka Lutsinar Bukan Fesyen Terbaru!

by

SEGELINTIR individu yang mengalami masalah pendengaran pastinya sukar untuk berkomunikasi secara normal dengan orang lain yang memakai topeng muka.

Individu yang mengalami masalah pendengaran atau pekak kebiasaannya membaca gerak mulut orang lain ketika berkomunikasi.

Memahami masalah yang dialami golongan tersebut, seorang wanita Claire Cross, 45, menjahit 100 keping topeng muka lutsinar di bahagian mulut.




Cross menggunakan kepingan plastik di bahagian mulut pada topeng muka dan menganggapnya penting bagi mereka yang mengalami masalah pendengaran.

Rakyat di Britain diwajibkan memakai topeng muka ketika menggunakan kenderaan awam bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Persatuan Kanak-Kanak Pekak Kebangsaan (NDCS) mengatakan penggunaan penutup muka boleh membantu orang pekak kerana mereka sering bergantung pada pembacaan bibir.


Topeng muka lutsinar turut digunakan oleh jururawat dan doktor di klinik untuk memudahkan komunikasi.

Salah satu kumpulan badan amal untuk golongan cacat pendengaran terkemuka memberi amaran bahawa berjuta-juta orang pekak boleh menghadapi 'bulan penderitaan' kecuali topeng muka yang telus disediakan secara meluas.

Hampir kesemuanya bergantung kepada wajah seseorang dengan jelas untuk membaca bibir atau ekspresi wajah. Ia termasuk mereka yang berkomunikasi melalui bahasa isyarat.

"Saya mula membuat (topeng muka lutsinar) ini di samping penutup muka standard selepas beberapa rakan yang bergantung pada pergerakan bibir ketika berkomunikasi.


Pemakaian topeng muka diwajibkan untuk semua orang di Britain terutama ketika menggunakan pengangkutan awam.

"Saya berkongsi apa yang saya lakukan dan mempunyai banyak permintaan bukan hanya daripada orang yang bergantung kepada pergerakan bibir, sebaliknya untuk jururawat dan doktor yang bekerja di klinik pertuturan.

"Permintaan itu pasti ada, tidak ada sebab mengapa orang pekak dan pendengaran harus mengalami halangan komunikasi yang lain," jelas Cross. - Dailymail

Sumber : Mstar

Sanggup Berbelanja Lebih RM17,000 Untuk Topeng Muka Bersalut Emas

by

SEORANG ahli perniagaan membelanjakan sebanyak RM17,159 untuk topeng muka diperbuat daripada emas yang ditempah khas bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

Shankar Kurade dari Pune, barat India berkata idea itu tercetus selepas melihat laporan media seorang lelaki memakai topeng emas diperbuat daripada perak.


Lelaki berusia 49 tahun itu membuat tempahan khas topeng muka seberat 60 gram itu dari sebuah kedai emas.






"Pemilik kedai emas itu berkata dia boleh menyiapkan tempahan tersebut dalam tempoh lapan hari, ” katanya.

Topeng muka berbentuk cakera itu diikat dengan dua jalur elastik supaya Shankar dapat menyangkutkannya di telinga.

Terdapat lubang kecil yang ditebuk pada topeng muka bersalut emas itu bagi membolehkannya bernafas.

"Ramai mahu berswafoto dengan saya. Mereka terkejut melihat saya memakai topeng muka bersalut emas ketika di pasar," katanya. - Mstar / Dailystar

Raffi Ahmad Beri Kata-kata Semangat Setelah Terkejut Berita Laudya Cynthia Bella Dan Engku Emran Bercerai

by

BERITA mengenai pelakon Laudya Cynthia Bella yang mengesahkan sudah bercerai dengan Engku Emran mengejutkan banyak pihak terutamanya dalam kalangan rakan selebriti.

Memetik laporan Liputan6, pengacara terkenal Raffi Ahmad yang juga bekas kekasih kepada Laudya mengetahui perkara itu selepas membaca sebuah artikel di portal hiburan.

Bagaimanapun, Raffi hanya mampu mendoakan agar segala keputusan yang dibuat Laudya adalah yang terbaik buat aktres itu.




"Saya baru mengetahui berita yang kurang menyenangkan daripada rakan saya, bukan daripada Vicky tapi dari rakan saya yang lain.


Raffi mengetahui berita perpisahan Laudya dan Engku Emran menerusi artikel di portal hiburan.

"Selepas baca sebuah artikel mengenai perkara itu, saya hanya mampu mendoakan agar keputusan itu adalah keputusan yang terbaik.

"Saya sentiasa mendoakan agar awak (Laudya) sentiasa dilindungi Allah dan kuat menjalani kehidupan di masa hadapan. Kalau awak perlu apa-apa, boleh hubungi saya saja. Semoga awak tabah," kata Raffi.

Raffi dan Laudya pernah menjalinkan hubungan istimewa sekitar 2000-an selepas bergandingan dalam sebuah drama namun perpisahan itu tidak menjadi penghalang untuk mereka terus berkawan.

Sumber : Mstar

Nia Ramadhani Dipuji Suami Sebab Berjaya Pecahkan Telur

by

Siapa yang tidak kenal dengan pelakon popular Indonesia, Nia Ramadhani yang mencipta nama menerusi drama sinetron Bawang Putih Bawang Merah. Selepas mendirikan rumah tangga dengan usahawan Ardi Bakrie, Nia tidak lagi berlakon.

Kehidupannya serba mewah dan glamor, sejak kebelakangan ini nama Nia menjadi perhatian ramai kerana tidak pandai melakukan kerja rumah. Malah, sebelum ini tular apabila Nia mengaku tidak pandai melakukan tugas-tugas mudah termasuk membasuh pinggan.






Nia berkata meskipun sudah berkahwin, dia langsung tidak membuat kerja rumah kerana sejak kecil lagi dia dibesarkan seperti seorang puteri. Bagaimanapun, baru-baru ini video viral mengenai Nia ternyata membuatkan netizen rasa geram.


Video tular itu memaparkan Nia dipuji melambung oleh suaminya kerana berjaya pecahkan telur di dalam mangkuk. Terdahulu, Nia menolak untuk mengupas buah salak sebab dia kata tak pernah mengupas buah tersebut sebelum ini.

Difahamkan, Nia telah dicabar suaminya untuk memecahkan telur. Berjaya memecahkan telur, suaminya akui bangga dengan pencapaian isterinya.

Meskipun ramai yang mengecam, namun rata-rata peminatnya turut berbangga dan terhibur dengan telatah Nia. Kata netizen lagi, meskipun perkara itu mudah bagi kebanyakan orang tetapi ianya sukar buat Nia.

Sumber : gempak.com

Durian Tanpa Duri Akhirnya Berjaya Dihasilkan

by

Sekumpulan penyelidik pertanian di Indonesia mendedahkan bahawa mereka berjaya menghasilkan buah durian tanpa duri.

Menurut Ketua Pemeriksaan dan Perakuan Benih Wilayah Barat Nusa Tenggara, beliau kini berasa lega kerana orang ramai tidak lagi menganggap durian tanpa duri ini sebagai satu khabar angin.


Tambah lagi, tanpa duri, durian ini lebih mudah dibuka dan juga mempunyai rasa yang sama, malah lebih manis berbanding durian biasa.




Pokok yang mula ditanam sekitar 2007 di Kampung Treggaluh berdekatan Gunung Rinjani, iaitu sebuah kawasan gunung berapi aktif di Pulau Lombok, Indonesia.


Sampel pokok durian tanpa duri ini juga telah diambil untuk dikaji dan juga dibiakkan.

Bagaimanapun, hanya dua peratus daripada biji benih pokok durian itu berbunga dan menghasilkan buah.

Penduduk disana memanggil buah durian tanpa biji ini sebagai durian gundul atau gundulan.



Sumber: Sinar Harian, era.je


Mendiang Sushant Singh Rajput Ada Tanah Di Bulan!

by

Kecintaan mendiang Sushant Singh Rajput terhadap bidang astronomi membuatkan dia sanggup berhabis untuk punyai aset di bulan.

Mempunyai sebidang tanah di kawasan Mare Muscoviense atau Laut Muscovy, Sushant membeli tanah itu dari International Lunar Lands Registry (ILLR) selepas mengikuti program selama tiga tahun.

Manakala, King of Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan pula mendapat sebidang tanah di bulan yang dihadiahkan oleh seorang peminat setianya.

Difahamkan, berdasarkan program ILLR harga seekar tanah di bulan bernilai sekitar AS$32 (RM136).

Sushant pula membelanjakan sekitar Rs6,900 (RM388) pada tahun 2018 untuk membeli tanah di bulan untuk keluasan tanah 276 kilometer persegi.






Selain memiliki tanah di bulan, Sushant juga mempunyai sebuah teleskop berkualiti tinggi Meade 14" LX600 yang dibeli untuk menyaksikan planet Zuhal dari kediamannya.

Malah, teleskop berharga sekitar AS$7,999 (RM10,852) itu mampu melihat bintang dan planet Musytari.


Sushant juga mempunyai stimulator pesawat jenis Boeing 737 demi mendapatkan lesen yang diidamkan.

Sumber: DNA India, The News Minute

Keluarga Mangsa COVID-19 Larikan Mayat Kerana Tidak Puas Hati SOP Pengebumian

by

Sejak munculnya wabak COVID-19, macam-macam gelagat lucu dan aneh timbul.

Terbaru, hospital di Jakarta, Indonesia terpaksa meningkatkan kawalan keselamatan di rumah mayat selepas ramai ahli keluarga melarikan mayat mangsa COVID-19.

Menurut polis tempatan dikenali sebagai Ibrahin Tompo, tindakan sesetengah pihak melarikan mayat kerana mahu mengadakan upacara pengebumian mengikut tuntutan agama mereka.

"Ada yang masih degil dan tidak faham prosedur hospital.





"Ramai saudara-mara mangsa terutama yang beragama Islam tidak bersetuju dengan prosedur ini kerana tidak boleh memandikan dan mengkafankan jenazah sebelum dikebumi mengikut tuntutan agama.

"Sehingga kini saja sudah 33 individu ditahan. Kesemua mereka berdepan tujuh tahun penjara kerana melanggar peraturan kuarantin kesihatan," katanya.

Jelasnya, pihak berkuasa juga telah mengerahkan lebih banyak kakitangan untuk mengawal keadaan ini.

"Keadaan agak serius sehinggakan ada yang segera menuntut mayat untuk dikebumikan segera walaupun meninggal dunia kerana penyakit yang tiada kaitan dengan COVID-19," katanya.

Difahamkan, situasi sama turut berlaku di Surabaya apabila empat individu telah ditahan selepas saudara-mara merampas mayat yang disyaki mangsa virus itu dari hospital tempatan.

Sumber: AFP

Isterinya Jantan

by

Malang buat seorang lelaki di Lombok Barat, Nusa Tenggara Barat apabila menjadi mangsa penipuan 'pasangannya' yang hanya menyamar sebagai wanita.

Tribun News melaporkan kisah pasangan itu mengejutkan penduduk selepas gambar perkahwinan mereka tular di Instagram (IG).

Menerusi entri di salah satu akaun IG yang mendedahkan perkara itu, mangsa melaporkan perkara berkenaan di Balai Polis Kediri sebelum kes dirujuk ke Balai Polis Lombok Barat.

Gambar dimuat naik itu menunjukkan pasangan itu bergambar bersama-sama selepas akad nikah namun wajah pengantin 'wanita' disamarkan.




Ketua Sub Bahagian Perhubungan Awam Polis Lombok Barat, Iptu Ketut Sandiarsa mengesahkan kes berkenaan.

Menurut Sandiarsa, pengantin lelaki itu dikenali sebagai Muh berusia 31 tahun dan berasal dari Pejeruk, Ampenan, Mataram.

"Kisah cinta mereka berputik selepas berkenalan di laman sosial.

"Bertitik tolak daripada situ, timbul rasa cinta dan akhirnya mereka sepakat mendirikan rumah tangga pada 2 Jun lalu.

"Namun, penipuan Mit (penyamar) terbongkar pada malam pertama selepas menolak untuk melakukan hubungan kelamin dengan Muh," katanya.

Muh yang curiga dengan apa yang berlaku melakukan pemeriksaan latar belakang dan terkejut mengetahui pasangannya itu adalah lelaki.

Sumber : HMetro

Penumpang 'Masak' Pizza Dalam Kapal Terbang

by

LONDON: Lazimnya penumpang bergantung dengan hidangan di dalam pesawat untuk mengalas perut mereka terutama jika melalui penerbangan jarak jauh.

Namun, lain pula kisahnya dengan seorang penumpang yang bukan hanya menyeludup pizza, tetapi turut memanaskan makanan berkenaan dengan lampu di tempat duduk pesawat sebelum menikmatinya.

Mirror UK melaporkan tindakan itu nampak bijak sehingga gambar aksi lelaki berkenaan tular di laman sosial.

Gambar itu dipercayai diambil seorang penumpang di barisan belakang.





Penumpang berkenaan memuat naik foto berkenaan di Instagram dengan keterangan: "Selesai memanaskan sisa."

Perkongsian itu meraih lebih 8,300 tanda suka dan pelbagai komen daripada warganet mengenai teknik masakan lelaki berkenaan.

"Anda tidak boleh memperbaiki kebodohan," komen warganet.

Seorang lagi warganet meninggalkan komen: "Itu lampu LED dan ia tidak boleh memanaskan."

Bagaimanapun, seorang warganet tidak menolak kemungkinan kaedah itu berkesan berdasarkan pengalaman peribadinya.

"Tangan saya pernah melecur selepas menyentuh lampu berkenaan," katanya.

Sumber : HMetro

Sekolah Ditutup Semua Selepas Seorang Pelajar Dijangkiti Covid-19

by

SEOUL – Sebuah sekolah tinggi di Daegu, pusat gelombang pertama wabak COVID-19 di Korea Selatan, ditutup semula pada Khamis sehari selepas dibuka, apabila seorang pelajarnya disahkan positif dijangkiti virus itu.

Menurut Pejabat Pendidikan Metropolitan Daegu, seorang pelajar senior sekolah tinggi pertanian yang tinggal di asrama disahkan dijangkiti COVID-19, mendorong pihak berkuasa menutup semula sekolah dan semua pelajar lain diarah pulang ke rumah atau dikuarantin, lapor agensi berita Yonhap.




Sekolah di Korea Selatan mula dibuka semula pada Rabu bermula sekolah tinggi manakala sekolah rendah dan menengah akan kembali beroperasi secara bertahap bermula 8 Jun.

Pelajar itu tinggal di Gumi, wilayah Gyeongsang Utara, kembali ke asrama pada Selasa petang sebelum mengambil ujian saringan COVID-19 pada hari berikutnya.


Ada juga sekolah di wilayah lain dilaporkan ditutup semula.

Di Incheon, semua pelajar sekolah tinggi di 66 sekolah diarah pulang selepas dua pelajar disahkan dijangkiti virus itu.

Kira-kira 60 pelajar di wilayah Gyeongsang Utara, hampir 30 di wilayah Gyeonggi dan lima di wilayah Chungcheong Utara diarah balik ke rumah atau dibawa ke hospital selepas menunjukkan gejala demam dan sakit tekak.

Sumber : BERNAMA

Harga Minyak Terus Meningkat

by

TOKYO – Harga minyak naik dalam dagangan hari ini, menghampiri keuntungan empat minggu berturut-turut berikutan pemulihan terhadap permintaan minyak selepas kebanyakan negara menarik semula sekatan perjalanan dalam membendung penularan Covid-19.

Harga Brent naik AS$o.14 kepada AS$36.20 setong pada 0040 GMT selepas meraih untung 1% pada hari Khamis.




Kontrak bagi Brent melonjak lebih 10% pada minggu ini.

Manakala West Texas Intermediate juga naik AS$0.05 kepada AS$33.97 setong, melonjak lebih daripada 1% pada sesi akhir.


Penanda aras Amerika Syarikat itu turut berada landasan selepas berlaku lonjakan kira-kira 15% pada minggu ini.

Penarikan semula sekatan perjalanan telah memulihkan permintaan ke atas gasolin selepas berlaku kesesakan di beberapa negara seperti awal tahun ini.

Selain itu, inventori Amerika Syarikat turut menyusut minggu ini, sekali gus mencadangkan lebihan bekalan dalam pasaran tidak berlaku.

OPEC dan Rusia serta sekutu-sekutunya turut menyaksikan penyusutan dalam pengurangan bekalan minyak kira-kira 6 juta tong sehari. – MalaysiaGazette

15 Penduduk Kampung Positif Covid-19 Selepas Membuka Keranda Dan Mandikan Mayat Pesakit

by

Gara-gara membuka keranda mayat pesakit Covid-19, seramai 15 penduduk di Kampung Jati Mukim Waru, Sidoarjo, Indonesia disahkan dijangkiti wabak tersebut.

Menerusi laporan The Nusantara Daily, Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa meluahkan perasaan kecewa terhadap kejadian yang berlaku itu.





Keranda tidak boleh dibuka



Menurut Khofifah, kejadian tersebut berlaku apabila ahli keluarga mangsa membuka keranda dan memandikan mayat. Tambahnya, dia berharap kejadian sebegitu tidak akan berulang kerana proses pengebumian mayat pesakit positif Covid-19 sangat ketat.

Manakala menurut Pemangku Bupati Sidoarjo, Nur Ahmad Syaifuddin memberitahu bahawa dia menerima maklumat berhubung kes itu agak lewat dan sememangnya ianya berlaku disebabkan kecuaian.
Orang yang sepatutnya mengebumikan pesakit positif Covid-19 adalah pekerja kesihatan yang memakai pakaian khas. Keranda tidak boleh dibuka dan pengebumian tidak boleh lebih dari empat jam.

Selepas kejadian itu, pasukan petugas perubatan telah melakukan ujian pantas dan ujian swab kepada penduduk di kawasan tersebut dan akibatnya 15 orang positif wabak berkenaan. Kesemua mereka terpaksa menjalani kuarantin yang sangat ketat.

Sumber: The Nusantara Daily, Ohbulan

Satu Keluarga Positif Covid-19 Selepas Solat Terawih Di Masjid

by

Akibat dari seorang yang mengerjakan solat sunat terawih di masjid, satu keluarga telah dijangkiti wabak Covid-19. Menerusi laporan Merdeka.com, kejadian berlaku di Jakarta apabila seorang lelaki yang berusia 58 tahun mengerjakan solat sunat terawih di masjid menjadi punca wabak Covid-19 itu merebak.




7 ahli keluarga positif Covid-19




Keluarga ini dijangkiti daripada bapa berusia 58 tahun yang bersolat tarawih di masjid. Ujian swab test menunjukkan semua mereka positif apabila ketua keluarga itu mula mengalami gejala.

Saringan kontak rapat mendapati enam ahli keluarganya turut positif dan menunjukkan gejala

Menurut Ahyani selaku Pegawai Pencegahan Covid-19 Jakarta, kesemua ahli keluarga mangsa positif Covid-19. Mereka terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita termasuk kanak-kanak berusia dua tahun. Mereka sekeluarga telah dirawat di Hospital Bung Karno dan pihak berkuasa sedang berusaha mengesan kontak rapat lelaki itu di masjid.

Penduduk tidak hirau arahan



Sebelum ini, Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa supaya masyarakat beragama Islam di negara itu tidak menunaikan solat di masjid termasuk solat Jumaat dan tarawih. Walau bagaimanapun, arahan itu tidak dihiraukan penduduk setempat menyebabkan penularan wabak itu di Indonesia semakin membimbangkan.

Sumber: Merdeka.com, Ohbulan

Thailand Sudah Benarkan Pelancong China, Korea Masuk

by

BANGKOK- Kementerian Kesihatan Thailand mencadangkan China dan Korea Selatan dikeluarkan daripada senarai zon penyakit merbahaya oleh kerajaan.

Namun begitu, pelawat daripada kedua-dua negara berkenaan perlu mematuhi proses kawalan kesihatan yang ketat.




Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) secara prinsipnya telah bersetuju untuk mengeluarkan China dan Korea Selatan daripada senarai, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Umum, Anutin Charnvirakul.

Beliau bagaimanapun tidak tahu bilakah pengumuman rasmi akan dibuat.

Maklum mengenai kebimbangan terhadap tahap kesihatan pelawat ke Thailand, Anutin berkata, mereka perlu melalui proses saringan seperti yang ditetapkan di bawah perintah eksekutif dan undang-undang penyakit berjangkit. – Agensi


Sumber : malaysiagazette

Orang Ramai Beratur Panjang Beli Arak

by

New Delhi: Polis terpaksa menghayun cota bagi menyuraikan sekumpulan lelaki yang beratur panjang untuk membeli arak.

Ia selepas premis itu kembali beroperasi apabila kerajaan melonggarkan perintah lockdown di negara berkenaan.

Kelonggaran itu diberikan selepas hampir 40 hari perintah berkenaan dikuatkuasakan.

Gulf News melaporkan situasi itu menyebabkan premis menjual arak di seluruh negara dibanjiri dengan kunjungan orang ramai.




Selain cota, polis menggunakan latthi iaitu sejenis buluh bagi mengawal kesesakan orang ramai yang mahu membeli arak.

Di Uttar Pradesh, polis mengarahkan kedai arak ditutup berikutan kehadiran terlalu ramai pelanggan.

"Kami sudah menanti saat ini sejak lebih sebulan yang lalu. Alkohol boleh memberi tenaga untuk kami melakukan penjarakan sosial," kata Asit Banerjee, 55.

Kerajaan India sebelum ini melanjutkan perintah lockdown di negara itu hingga 17 Mei.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengumumkan banyak kelonggaran berdasarkan status zon di setiap kawasan.

Zon merah (berisiko signifikan untuk penularan), hijau (tiada kes dalam tempoh 21 hari) dan jingga (status antara zon merah dan zon hijau).

Sumber : HMetro

Viral Sorok RM800 Dalam Tepung Gandum Untuk Fakir Miskin, Ini Respon Aamir Khan

by

Baru-baru ini viral di media sosial, pelakon Bollywood terkenal, Amir Khan, dikatakan memberi sumbangan tepung gandum kepada golongan kurang berkemampuan.Lebih mengejutkan apabila di dalam 1 kilogram tepung gandum itu mengandungi wang sebanyak Rs 15,000 (RM855).

Tindakan tersebut ternyata berjaya menarik perhatian netizen dan ramai yang memuji kebijaksanaannya.





Wang di dalam tepung gandum


Posting viral ini mendakwa Aamir Khan menghantar sebuah trak untuk mengagihkan tepung gandum kepada fakir miskin di Delhi yang terjejas dengan penularan wabak. Dia dikatakan dengan sengaja menyembunyikan wang di dalam tepung untuk memastikan sumbangan sampai kepada fakir miskin.

Walau bagaimanapun, Aamir Khan menerusi Twitter menafikan perkara tersebut dan memberi ‘hint’ seakan ada orang lain yang berbuat demikian.
Bukan saya – Aamir Khan


Kata pelakon 3 Idiots ini lagi, bukan dia yang menyembunyikan wang tersebut. Kisah tersebut sama ada palsu atau ‘Robin Hood’ tidak mahu mendedahkan siapa dirinya sebenar.

Di ruangan komen, ramai yang memuji sikap jujur Aamir Khan menjelaskan khabar angin yang tersebar.



Sumber : Aamir Khan, Ohbulan

Jepun Menyesal Tamatkan Perintah Berkurung Terlalu Awal, Akhirnya Terpaksa Isytihar Darurat

by

Hokkaido, iaitu pulau di utara Jepun ini telah dilanda gelombang kedua COVID-19.

Sebanyak 135 jangkitan COVID-19 dalam tempoh seminggu dilaporkan selepas menamatkan perintah berkurung tiga minggu apabila kes jangkitan berkurang kepada satu angka.

Perintah berkurung yang ditamatkan pada 19 Mac lalu bagi membolehkan perniagaan dan sekolah beroperasi, kini mengisytiharkan darurat kecemasan.

Pengerusi Pertubuhan Perubatan Hokkaido, Dr Kiyoshi Nagase, berkata beliau menyesal kerana perintah berkurung ditamatkan terlalu awal di wilayah dengan 5.3 juta penduduk itu.

"Ini bermakna kita mungkin perlu menunggu hingga tahun depan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan kita boleh menamatkan perintah berkurung tanpa risau," katanya.

Pakar kawalan penyakit berjangkit di Health Sciences University, Hokkaido, Prof Yoko Tsukamoto, turut bersetuju bahawa perintah berkurung ditamatkan terlalu awal.

"Pada masa itu, kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi atau pengetahuan mengenai wabak COVID-19.

"Namun, kita tidak boleh persalahkan sesiapa kerana keputusan (menamatkan perintah berkurung) dibuat berdasarkan penurunan kadar jangkitan kepada hanya satu atau dua kes sehari.

"Tapi kini kita sedar ini menjadi kesilapan terbesar, walaupun pada masa itu ia adalah tindakan yang wajar dilakukan," katanya.



Hokkaido melaporkan 38 kes baharu COVID-19 kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan 688 jangkitan selain seorang maut, menjadikan jumlah keseluruhan 27 kematian iaitu yang kelima tertinggi di Jepun.

Kes pertama COVID-19 di Hokkaido dikesan pada seorang pelancong China dari Wuhan ketika Festival Salji Sapporo pada Februari lalu sebelum perintah berkurung diisytiharkan, yang dihadiri dua juta orang.

Keadaan yang sama berlaku di Ontario, Kanada di mana penurunan kes baharu COVID-19 selama tiga hari berturut-turut menyaksikan peningkatan mendadak kelmarin dengan 525 kes baharu dan 59 kematian dalam 24 jam.

Pada 24 April lalu, Ontario merekodkan 640 kes harian baharu diikuti 476 kes pada hari berikutnya, 437 kes selepas itu dan 424 kes pada hari seterusnya.

Bagaimanapun, berlaku peningkatan mendadak 525 kes iaitu penambahan 101 kes berbanding hari sebelumnya.

Secara keseluruhan, Ontario mencatatkan 15,381 kes COVID-19 yang disahkan termasuk 951 kematian dan 8,964 pesakit yang sudah sembuh.

Sumber: Berita Harian, gempak.com

Pelakon Veteran Bollywood Terkenal Rishi Kapoor Meninggal Dunia

by

Pelakon veteran Bollywood Rishi Kapoor, yang selama beberapa dekad menghiburkan penggemar filem Hindustan, meninggal dunia pada Khamis selepas dua tahun menderita sakit leukemia.

Pelakon berusia 67 tahun itu dimasukkan ke sebuah hospital di Mumbai pada Rabu.

Pernah menjalani rawatan di Amerika Syarikat selama setahun sebelum kembali ke India pada September tahun lalu.

Beliau mula mengukir nama menerusi filem romantik "Bobby" yang diterbitkan pada 1973.




Filem popularnya yang lain termasuk "Karz", "Nagina", "Saagar", "Amar Akbar Anthony" dan "Chandni".

Memulakan karier seni lakon pada 1970 menerusi filem yang juga dibintangi ayahnya Raj Kapoor "Mera Naam Joker".

Perdana Menteri India Narendra Modi menyifatkan Rishi sebagai seorang anak seni yang sangat berbakat.

"Kita kehilangan seorang insan hebat hari ini. Pelakon yang luar biasa, manusia yang luar biasa dan 100 peratus berjiwa anak wayang," kata bintang filem Aamir Khan.

Rishi meninggalkan seorang isteri, pelakon Neetu Kapoor, anak lelaki Ranbir dan anak perempuan Riddhima.

Semalam, India turut dikejutkan dengan berita kematian pelakon Irrfan Khan, yang terkenal menerusi filem "Life of Pi" dan "Slumdog Millionaire".

-- BERNAMA

Alhamdulillah ! Masjidil Haram, Masjid Nabawi Akan Dibuka Tidak Lama Lagi

by

Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais menerusi akaun Twitter haramain.info memaklumkan bahawa dua masjid suci umat Islam, Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah akan dibuka tidak lama lagi sebaik sahaja masalah penularan COVID-19 dapat ditangani.



Bakal dibuka untuk tawaf dan solat

Tambah Sheikh Abdul Rahman, dua masjid suci itu juga akan dibuka untuk tawaf dan solat, serta ziarah terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Saya bawa khabar gembira kepada umat Islam bahawa keadaan akan kembali normal di dua masjid suci tidak lama lagi.
Namun, pihaknya tidak akan membuka dua masjid suci itu secara tergesa-gesa. Beberapa langkah pencegahan yang ketat akan diambil demi kebaikan umat Islam.

Kami tidak akan tergesa-gesa membuka dua masjid suci itu kerana semua langkah yang diambil adalah untuk kebaikan kita.
Sekali lagi, kami menyeru semua umat Islam agar terus berdoa semoga pandemik ini selesai, berdoa untuk kebaikan pemimpin kita (Penjaga Dua Masjid Suci) sambil menerima bahawa apa yang dilakukan ini adalah yang terbaik.

Sumber: haramain.info, Ohbulan

Pelakon Terkenal Bollywood, Irrfan Khan Meninggal Dunia

by

Industri hiburan Bollywood hari ini dikejutkan dengan satu berita sedih atas pemergian seorang pelakon yang sangat berbakat iaitu Irrfan Khan.

Menerusi laporan yang dipetik daripada BBC News, Irrfan Khan telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kokilaben Dhirubhai Ambani di Mumbai. Difahamkan, pelakon terkenal yang berusia 53 tahun ini telah dimasukkan ke wad pada hari Selasa (28 April 2020) untuk menjalani rawatan selepas menderita jangkitan usus besar.

Namun malangnya, keadaan kesihatan Irrfan Khan dilihat semakin merosot dan telah meninggal pada keesokan harinya iaitu pada 29 April 2020 (Rabu).





Didiagnosis tumor neuroendokrin


Pelakon yang pernah merangkul anugerah aktor terbaik menerusi Anugerah Kebangsaan India ini juga merupakan salah seorang pejuang kanser yang sangat kuat dan cekal. Menurut sumber, sebelum ini iaitu pada bulan Mac 2018, Irrfan Khan pernah mendedahkan kepada umum bahawa dia telah didiagnosis dengan tumor neuroendokrin iaitu salah satu penyakit yang jarang sekali berlaku.

Beliau kemudian telah pergi ke Hospital di London untuk mendapatkan rawatan. 2 bulan selepas dia mendedahkan penyakitnya itu kepada umum, pelakon yang memiliki dua orang anak ini kemudian menulis satu surat terbuka dengan menceritakan pengalamannya sepanjang menjalani rawatan kanser.

Rakan artis sedih

An actor that every director wanted to work with. A human being that gave his best in every role. Indian film’s most succesful export to Hollywood. A man loved by all. Sad to see leave us, after what we thought was suucesfull fight against cancer. God bess you Irfan .
1,091 people are talking about this
Rest in peace @irrfank you have no idea what your kindness meant to me at a time I was at my least confident . My condolences to your family and loved ones.
1,276 people are talking about this
Thank you for those indelible movie memories....thank you for raising the bar as an artist ...thank you for enriching our Cinema....we will miss you terribly Irrfan but will always always be immensely grateful for your presence in our lives.....our cinema....we salute you🙏❤️😪
3,116 people are talking about this
My dear friend Irfaan. You fought and fought and fought. I will always be proud of you.. we shall meet again.. condolences to Sutapa and Babil.. you too fought, Sutapa you gave everything possible in this fight. Peace and Om shanti. Irfaan Khan salute.
14.4K people are talking about this

Berita pemergian Irrfan Khan ini telah mengejutkan ramai. Rata-rata rakan artis dan para peminat turut meluahkan rasa sedih dan mengucapkan salam takziah atas pemergian seorang pelakon yang sangat terkenal dan berbakat ini.



Sumber: BBC News, Hindustan Times, Mirror Uk, Independent Uk, Twitter, Ohbulan