,

Adik Zahid Beli 2 Banglo RM5.9 Juta Guna Cek Akaun Pemegang Amanah


Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu adik Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi membeli 2 banglo di Country Heights, Kajang bernilai RM5.9 juta menerusi cek Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-57, Pengarah Bee Garden Holdings Sdn Bhd, Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew, 65, berkata cek itu untuk pembayaran penyelesaian jualan 2 banglo setingkat milik syarikatnya, yang dijual kepada Yayasan Al-Falah dengan Nasaee ialah pengerusi lembaga pemegang amanah yayasan itu.




Beliau berkata, tujuan pembelian 2 banglo menerusi sekeping cek bertarikh 4 Jan 2017 berkaitan keagamaan kerana lokasinya berdekatan surau.

“Datuk Eric ada beritahu pihak yang mahu beli ada kaitan dengan keagamaan, tetapi saya tidak pasti kesahihannya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zaidi: Tadi Tan Sri (Lee) beritahu kenal Datuk Zahid (Ahmad Zahid). Adakah Tan Sri tahu Yayasan Al-Falah yang membeli lot-lot banglo ini ada kaitan dengan Datuk Zahid?

Lee: Saya tahu.

Ahmad Zaidi: Tan Sri tahu atau tak lot-lot tersebut akan ditukarkan untuk tujuan keagamaan, tahfiz atau pun sekolah agama Islam?

Lee: Saya tak tahu dia tukar ke apa. Tapi saya memang tahu bila mereka (Yayasan Al-Falah) beli tanah ini kerana banglo-banglo itu dekat dengan surau, dan ada kaitan pembelian tanah ini dengan surau itu.

Lee yang juga pengasas dan pengerusi Country Heights Holdings Berhad turut bersetuju dengan cadangan Zaidi 2 banglo yang asalnya rumah contoh itu dijual di bawah harga pasaran kerana keadaannya tidak terurus disebabkan lama tidak berpenghuni.

“Kedua-dua rumah itu dijual pada 2017 dengan harga RM150 sekaki.

“Saya bersetuju menjual satu lot pada haga RM3,022,500, kemudian dilaraskan menjadi RM3 juta, manakala satu lagi pada harga RM2,885,250, kemudian dilaraskan menjadi RM2.9 juta.”

Ahli perniagaan itu berkata, perjanjian urusan jual beli itu ditandatangani olehnya dan seorang lagi pengarah Bee Garden Holdings, Nik Hassan Nik Mohd Amin bagi pihak penjual, manakala Nasaee sebagai wakil pembeli.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, saksi itu bersetuju dengan cadangan pengurangan harga banglo itu tiada kena-mengena faktor dekat dengan surau seperti yang dibangktikan pembelaan.

Dalam pertuduhan pengubahan wang haram ke-26, Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian 2 rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co.

Zahid berdepan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, 8 tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Sumber : freemalaysiatoday