PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) belum pun tamat, namun 'mat dan minah rempit' sudah berani berkumpul, membuat bising dan menjadikan kawasan rekreasi Tasik Biru Kuang 'port' dekat Rawang sebagai lokasi lumba motosikal.
Semalam, satu video mereka 'konvoi' sambil menolak motosikal masing-masing beramai-ramai tersebar di media sosial di lokasi terbabit.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Safa'aton Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya mengadakan Operasi Khas Samseng Jalanan berikutan banyak aduan awam diterima mengenainya.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menerima banyak aduan dan rungutan berkaitan 'mat-mat motor' yang menjadikan lokasi ini sebagai tempat untuk berlumba dan membuat bising," katanya.
Berikutan aduan itu katanya, satu operasi diadakan pada Ahad lalu, antara 5 petang hingga 11 malam di kawasan terbabit.
"Hasil operasi yang dijalankan, sebanyak 209 saman dikeluarkan, manakala 59 motosikal disita atas kesalahan tiada lesen memandu dan ubahsuai motosikal.
"Jumlah keseluruhan yang diperiksa membabitkan 200 lelaki dan 28 wanita yang berumur antara 14 hingga 21 tahun," katanya.
Berhubung dengan video yang diviralkan itu pula katanya, mereka menolak motosikal masing-masing pada jarak antara 200 hingga 300 meter dari kawasan terbabit ke Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Sri Kundang untuk proses dokumentasi.
Shafa'aton berkata, IPD Sg Buloh akan membuat operasi khas seumpama itu secara berkala dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengganggu gugat ketenteraman awam.
Sumber : HMetro