Meskipun sibuk dengan pelancaran album terbarunya berjudul ManifestaSITI2020 , bagaimanapun Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap akan meneruskan usaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua yang diidamkan tahun ini.
Siti berkata dia tidak berhasrat untuk menangguhkan impian tersebut memandangkan sudah cukup bersedia ke arah itu. Ujarnya lagi, dia bukan lagi semakin muda dan perkara itu tidak boleh dilambat-lambatkan.
Usaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua akan tetap diteruskan seperti apa yang pernah saya kongsikan sebelum ini.
“Sama ada menerusi kaedah rawatan ataupun secara normal, hasrat ini tetap ada kerana saya sudah lama bersedia.
“Bagi saya, kerja tetap perlu berjalan dan hal keluarga pun mesti diteruskan. Lagipun, saya bukan semakin muda. Buat apa nak tangguh-tangguh,” katanya kepada Harian Metro.
Februari lalu, Siti menjalani pembedahan kecil di sebuah pusat perubatan swasta sebagai persediaan hamil. Prosedur itu dilakukan kerana Siti mengguna kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) seperti yang dilakukannya ketika mengandungkan Siti Aafiyah, tiga tahun lalu.
Dalam pada itu, aebelum ini Siti juga menyatakan hasratnya untuk menimang anak lelaki pula. Bagaimanapun, dia menyerahkan rezeki zuriat itu kepada Allah dan cukup bersyukur jika diizinkan untuk hamil lagi.
“Kalau boleh nak sepasang iaitu lelaki pula lepas ini. Lagi pun, dah ada perempuan. Tapi, saya tetap berserah kepada Allah.
“Apa pun yang Allah berikan, saya bersyukur. Asalkan Allah izin saya hamil, saya terima saja sama ada anak lelaki atau perempuan,” katanya.
Sumber : gempak.com