,

Dikurung Dalam Rumah Berhantu Kerana Langgar Arahan Kuarantin


Gara-gara langgar arahan kuarantin, 2 lelaki yang baru pulang dari bandar ke kampung di Plupuh, Indonesia dikurung dalam rumah berhantu.

Menurut AFP, Ketua daerah Sragen, Kusdinar Untung Yuni Sukowati mengambil pendekatan berbeza untuk menghukum dan memberi pengajaran kepada mereka kerana degil.

Akibat enggan melakukan kuarantin di rumah masing-masing, kedua-dua mereka dikurung dalam rumah berhantu yang jauh dari kampung dan terletak di tengah sawah padi.

Kusdinar berkata beliau menerima laporan terdapat 2 warga Plupuh yang enggan dikuarantin.

Jadi beliau terus memberi arahan agar rumah hantu di tengah sawah padi itu dibersihkan untuk mengunci kedua-dua pelaku tersebut.






“Ada 2 warga di Plupuh yang sepakat dan tidak mahu kuarantinkan diri sendiri dan dijumpai berada di tengah jalan.. Akhirnya, dua warga itu dimasukkan ke rumah kosong dan berhantu lalu dikunci dari luar.”

Bagaimanapun menurutnya, kedua-dua individu tersebut tetap diberi makan dan dipantau dari semasa ke semasa.

Menurutnya, sebelum ini kedua-dua mereka menandatangani surat tanda bersetuju untuk melakukan kuarantin selama 14 hari.

Tapi, tak sampai 2 minggu mereka langgar perjanjian itu.

Kata Kusdinar, beliau faham jika ada yang mahu pulang dari bandar ke kampung tapi mereka haruslah mengikut arahan yang telah ditetapkan iaitu melakukan kuarantin selama 14 hari.

Sumber : freemalaysiatoday.com