Tidak lagi berahsia mengenai status hubungannya bersama kekasih yang dikenali sebagai Mr E, baru-baru ini ibu Ruhainies, Che Bunga Salleh mendedahkan bahawa anaknya itu bakal berkahwin tahun depan.
Menurut ibunya lagi, dia mahu anak-anaknya berkahwin mengikut giliran dimana kakak Ruhainies iaitu pelakon Risteena yang akan melangsungkan perkahwinan tahun ini.
“Saya semahunya mahu anak-anak berkahwin ikut giliran. Biarlah Risteena melangsungkan perkahwinannya yang akan berlangsung tahun ini kemudian barulah Ruhainies menyusul tahun depan.
“Jujur, saya sangat teruja melihat anak-anak bahagia dengan pasangan masing-masing. Tidak sabarnya menyambut menantu dan melihat keluarga jadi lebih besar,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, ibu kepada dua pelakon cantik itu mahu anak-anaknya disatukan mengikut adat melayu bermula daripada merisik, bertunang dan barulah bernikah.
Terdahulu, Ruhainies mengakui sudah menerima lamaran Mr E juga ahli perniagaan yang kini menetap di London serta memiliki tiga cawangan butik terkenal di Malaysia. Kekasihnya itu juga turut menghadiahkan sebentuk cincin yang ditempah khas. -rotikaya-