,

Amy Search Umum Keluar Search


Vokalis utama Search, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman mengumumkan keluar daripada kumpulan tersebut.

Pengumuman tersebut dibuat Amy sewaktu bersiaran secara langsung bersama Astro Gempak dalam segmen #ArtisDudukDiam sekitar pukul 3.30 petang tadi.

 

"Saya dengan ini secara rasmi mengumumkan untuk mengundurkan diri sebagai vokalis Search," ucap Amy yang membuat para peminat yang sedang mengikuti siaran langsung IG tersebut terkejut.

Menurut Amy penggunduran yang dibuat adalah untuk kebaikan bersama termasuk memberi peluang buat anggota Search yang lain, Nasir, Kid dan Din mengorak langkah masing masing tanpa bergantung atau tersekat kerana dirinya.

"Dengan pengumuman ini saya berharap agar saya tidak menghalang perjalanan atau karier anggota sedia ada," katanya lagi.

Selain itu Amy mengaku setelah melewati usia 62 tahun, sebagai penyanyi ia tidak lagi memiliki kualiti vokal seperti berusia 26 tahun.

"Hal itu terjadi kepada semua penyanyi di seluruh dunia. Saya bukan 26 tahun, tapi 62 tahun. Saya menyanyi apabila dipanggil dalam show atau persembahan tertutup. Saya kira ia sesuai dengan peredaran masa di mana jika dulu peminat yang membesar bersama saya menonton saya menyanyi di konsert, tapi saat usia meningkat banyak yang memilih untuk menyaksikan persembahan saya secara tertutup," terang Amy.

Saat ditanya salah satu peminat adakah Amy akan kekal menyanyikan lagu lagu Search dalam persembahannya selepas ini, penyanyi yang berasal dari Kampung Bakar Batu, Johor Bahru itu mengatakan ya.

"Sudah pasti saya akan tetap menyanyikan lagu lagu Search selepas bergerak solo nanti," katanya.

Amy bagaimana tidak menjawab soalan saat diminta oleh peminat untuk membuat konsert terakhir bersama Search sebelum benar benar bergerak solo.

Spekulasi Amy ingin meninggalkan Search terjadi setelah ayah kepada pelakon Nabila Huda itu menuliskan dirinya sebagai bekas vokalis Search di salah satu gambar di akun Instagramnya, @akuamysearch.

Penyanyi itu bagaimanapun menegaskan ia tidak akan bersara.

"Saya bukan bersara ya. Saya hanya rasmi tidak lagi menjadi vokalis Search dan meneruskan karier solo mengikut usia saya," tutup Amy.

Ini bukan pertama kali Amy mengundurkan diri dari Search. Amy pernah keluar dari kumpulan yang hit dengan lagu Isabella itu pada tahun 1994 untuk melancarkan karier solonya.

Dia kemudian muncul dengan album berjudul Magic memenangi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album, album Magic, Anugerah Industri Muzik ke-2 pada tahun 1995.

Teks oleh: Maliah Surip