Menerusi laman sosial Twitter, seorang pengguna @abbakadabbra telah berkongsi beberapa keping foto warga Mont Kiara yang masih keluar bersenam,bersiar-siar seperti tiada apa yang berlaku.
“Mont Kiara ni takde polis ke?” tulis pengguna tersebut sebagai kapsyen foto.
Biarpun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bertiah dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan arahan untuk rakyat Malaysia duduk di rumah, nampaknya ada segelintir warga Mont Kiara terutamanya ekspatriat (warga luar yang berkerja di Malaysia) dan golongan T20 (mempunyai pendapatan isi rumah purata sekurang-kurangnya RM13,148) yang masih degil.
Dilaporkan pihak polis telah membuat rondaan beberapa kali namun masih tidak diendahkan oleh penduduk di situ.
Hasil tinjauan Gempak di ruangan Twitter lagi, rata-rata wargamaya mengecam tindakan orang yang keluar bersenam serta meminta tindakan yang lebih ketat dikenakan kepada mereka.
“Boleh tak kita tahan para pendatang orang putih dan golongan T20 di Mont Kiara yang tidak pedulikan arahan PKP? Jangan denda, sumbat dalam lokap terus,” cadang seorang wargamaya.
“Saya di Mont Kiara tadi, keluar beli ubat di klinik, nampak golongan T20 dan ekspatriat yang berbasikal, bersiar-siar macam takde apa yang berlaku. Dengan tak pakai mask, macam mana kita nak putuskan rantaian virus ni?” tegur seorang wargamaya.
“Senang je nak suruh orang Mont Kiara stop jogging. Kerajaan kena keluarkan amaran, kalau masih ada orang ingkar dengan PKP, kerajaan akan tukar nama Mont Kiara jadi Segambut,” kata seorang wargamaya.
“Orang Mont Kiara boleh beli dan sewa kondo mahal-mahal, tapi tak mampu nak belu treadmill,” komen seorang wargamaya lagi.
Kepada semua rakyat Malaysia, tolonglah duduk di rumah. Dengan cara ini kita boleh terhindar daripada jangkitan Covid-19.
Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan, untuk memutuskan rantaian penularan wabak yang boleh membunuh ini. Just stay at home! -gempak.com-