,

Doakan Saya Lekas Sembuh - PU Riz Positif COVID-19


Selepas mengalami gejala demam panas semenjak tiga hari lalu, pelakon, pengacara dan pendakwah bebas, PU Riz, 25, disahkan positif wabak COVID-19.

Baru sahaja mendapat perkhabaran terbabit, Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail yang dihubungi Gempak tetap kekal optimis.

"Sebenarnya, sudah tiga hari saya demam dan semalam saya membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Sebentar tadi, saya dihubungi oleh PPUM dan mereka mengesahkan perkara ini. Sejujurnya, saya reda dan menganggap ini sebagai ujian.



"Apa yang penting, saya mahu cepat sembuh dan saya memohon agar semua pihak mendoakan saya. Kepada yang lain, kekal berada di rumah dan terus mengikut saranan kerajaan untuk mengekang wabak ini," katanya kepada Gempak.

Tambah Riz, PPUM akan datang ke rumahnya dengan ambulans dan dia bakal menjalani rawatan di sana.

"Saya mahu terus kuat. Allah telah datangkan sakit ini kepada saya dan sebagai hamba-Nya, saya menerima ujian ini dengan berlapang dada.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, saya kekal duduk di rumah, jika keluar rumah pun, saya hanya membeli barang keperluan saja.

"Saya tiada kontak rapat dengan mana-mana pesakit COVID-19 sebelum ini. Cuma, rumah saya betul-betul berada berdekatan dengan Masjid Jamek Seri Petaling.

"Sebelum ini memang saya kerap mendirikan solat di situ tetapi semenjak ditutup kerana jangkitan wabak itu, saya hanya sembahyang di rumah sahaja," kata Riz lagi.

credit to gempak.com