,

Bulan Penuh Terbesar Untuk 2020 Berlaku Rabu Ini


Sekali lagi peminat bulan penuh satu dunia akan berpeluang menyaksikan Bulan Penuh paling besar untuk tahun 2020, yang dikenali dalam istilah astronomi sebagai Bulan Penuh Perigee…atau nama lain yang saya tak begitu gemar… supermoon.

Perbezaan saiz ketika Bulan di kedudukan perigee dan apogee. Kredit Laurent Laveder
Apakah yang dimaksudkan sebagai Bulan Penuh Perigee

Secara amnya, ketika Bulan berada di dalam fasa penuh atau purnama, serentak pada waktu yang sama (atau hampir sama) Bulan akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi, yang dikenali sebagai Perigee. Maka, nama yang digunapakai ialah Bulan Penuh Perigee.

Satu lagi istilah yang digunakan dikalangan komuniti sains ialah perigee-syzygy moon.
Bilakah fenomena ini akan berlaku?

Bulan akan berada di dalam kedudukan perigee pada 8 April 2020 jam 2:10 pagi

Bulan akan memasuki fasa Bulan Penuh pada 8 April 2020 kam 10:35 pagi.

Selisih 8 jam di antara momen perigee dan bulan penuh, ‘melayakkan’ Bulan Penuh bulan April ini mendapat gelaran Bulan Penuh Perigee atau supermoon.

Rujuk Almanak Astronomi 2020.
Apakah yang kita akan dapat lihat nanti?

Bulan Penuh Perigee ialah fasa Bulan Penuh je pun. Yang membezakan dengan fasa bulan-bulan penuh yang lain yang berlaku setiap bulan tu ialah, kali ini ia berada paling dekat dengan Bumi.

Kesannya ialah, ia akan kelihatan lebih besar berbanding bulan-bulan penuh yang lain. Secara amnya, ia akan nampak 7% lebih besar berbanding saiz purata bulan penuh. Perbezaan saiz ini mungkin dapat dilihat bagi anda yang selalu mencerap dan memerhatikan bulan setiap hari.

Kesan kedua yang boleh dilihat ialah ia akan bersinar 15% lebih cerah berbanding bulan penuh biasa. Yang ini saya berpendapat ramai yang akan perasan perbezaannya.





Kenapa Bulan semakin dekat dengan Bumi? Ada kaitan dengan covid-19 ke?

Orbit Bulan tidak sempurna bulat. Ia berbentuk elips sedikit. Maka, di sepanjang laluan Bulan mengelilingi Bumi, ada ketika ia berada sedikit hampir dengan Bumi, dan ada ketika ia berada jauh sikit.


Saat ketika ia paling dekat dengan Bumi (perigee), ia akan kelihatan lebih besar dan lebih terang. Sebaliknya ketika ia berada paling jauh (apogee), ia kelihatan lebih kecil dan kurang terang.

Adakah fenomena ini hanya berlaku ketika Bulan Penuh?

Tak. Saat ia perigee dan apogee akan berubah-ubah sepanjang tahun. Ia tak semestinya berlaku pada fasa Bulan Penuh. Ia mungkin berlaku ketika fasa Bulan Sukuan Awal, mungkin berlaku ketika anak bulan dan lain-lain.

Ada cara ke kita nak kira supermoon seterusnya?

Jika kita belajar dan memerhatikan pergerakan objek di langit, selain daripada ia sempurna, majoriti pergerakannya seolah-olah ada seperti satu alunan atau ritma (rythm) yang berulang-ulang. Bulan Penuh Perigee ini termasuk di dalam kes yang ada ritma.

Secara mudahnya, bagi setiap kali 14 kali fasa Bulan Penuh berlaku, Bulan sudah pun bergerak di dalam titik paling hampir Perigee-nya sebanyak 15 kali.

Dan kedua-dua tempoh di atas (14 kali dan 15 kali) tu.. menyamai 413 hari atau bersamaan 1 tahun 1 bulan dan 18 hari!

Oleh itu, jika kita buat kira-kira, Bulan Penuh Perigee yang akan datang akan berlaku pada 26 Mei 2021.

Ada terbaca, bulan penuh ini dikenali sebagai ‘Super Pink Moon’. Apo ko bondo tu?

Setiap kali Bulan Penuh, masyarakat setempat kadang kala ada memberi gelaran atau nama yang nak dikaitkan dengan sesuatu kejadian.

Di dalam kes Pink Moon ini, ia tidak ada kena mengena dengan warna Bulan itu pun! Ia merujuk kepada sejenis tumbuhan berbunga phlox subulata, yang berwarna merah jambu dan sedang mekar pada musim bunga di Amerika Utara. 

Phlox subulata

Saya cuba cari namanya di dalam Bahasa Melayu, dan terjumpa ini tetapi tak pasti kesahihannya. Mungkin ada sesiapa yang ada maklumat mengenai namanya?

Disebabkan Bulan Penuh kali ini berlaku ketika musim bunga ini sedang mekar, maka ia pun diberi gelaran Super Pink Moon!

Saya secara peribadi tak pedulikan sangat gelaran ini kerana ia tidak ada kena mengena dengan masyarakat kita di Malaysia, dan tidak ada kena mengena dalam astronomi pun. Hanya gelaran yang dibuat oleh komuniti petani yang di dalam The Old Farmer’s Almanac.
Jadi, adakah warna Bulan akan berubah menjadi merah jambu?

Tidak. Seperti yang dikatakan tadi, ia hanya gelaran sahaja. Warna Bulan Penuh nanti banyak bergantung kepada keadaan cuaca setempat, serta ketinggian Bulan di langit. Selalunya apabila Bulan baru sahaja nak terbit ia akan nampak kemerahan atau jingga.. kesan atmosfera yang kotor. Apabila ia semakin tinggi di langit, warnanya akan kembali normal.


Warna bulan akan berubaha-ubah mengikut ketinggian ia berada di langit serta bergantung kepada kekotoran atmosfera di kawasan setempat. Foto @shahgazer
Kenapa sejak kebelakangan ini supermoon sering berlaku?

Sebenarnya anggapan ini tidak tepat. Bulan sudah dan sentiasa beredar mengelilingi Bumi di dalam orbit yang elips dan di dalam sepanjang laluan itu pasti akan berlaku Bulan Penuh Perigee… sampailah kiamat!

Cuma dalam kes supermoon ini, nama atau gelaran itu baru sejak 10 tahun kebelakangan ini semakin viral dan popular. Gelaran ini diberi oleh seorang ahli nujum (astrologer), yang mana dia memang pun merujuk kepada fenomena Bulan Penuh paling besar dalam setahun, tetapi di dalam dunia sains Astronomi ia tidak digunapakai pun. Namun disebabkan sudah viral, saya perhatika ramai komunikator astronomi pun sudah menggunakan istilah ini. Sabor je la..

Wallahua’lam

credit to falakonline