,

YouTube Malaysia Iktiraf Baby Shima


PENYANYI Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Baby Shima tidak menyangka saluran YouTube rasmi Baby Shima yang diwujudkan dua tahun lalu kini memiliki lebih 1 juta pelanggan hingga namanya tersenarai dalam Gold Creator Award YouTube Malaysia.

Shima ketika dihubungi berkata, pada awalnya platform itu diwujudkan untuk dia berkongsi karya-karyanya.

"Saya gembira apabila jumlah pelanggan sudah mencecah 1 juta. Pada masa sama, ia juga kejutan kerana saya tak pernah mengejar pelanggan atau pengikut, sebaliknya hanya menggunakan platform itu untuk berkarya. Apa pun, kejayaan itu adalah bonus buat saya," katanya kepada Harian Metro.




Paling menggembirakan, saluran YouTube itu turut membuka ruang untuk dia menjana pendapatan dan sedikit-sebanyak membantu meningkatkan pendapatannya.

"Alhamdulillah, dari pendapatan yang saya dapat menerusi YouTube, dapat juga saya gunakan untuk berbelanja. Pada masa sama, saya dapat membayar gaji pekerja yang menjadi sebahagian pasukan produksi YouTube saya seperti penyunting, jurukamera dan sebagainya," katanya.

Penyanyi lagu Pura Pura Bujang itu juga menggalakkan mereka yang memiliki minat untuk menjana pendapatan menerusi YouTube supaya tidak berputus asa.

"Jangan pernah putus asa dan rajinkan diri untuk menerbitkan kandungan untuk YouTube. Teruskan berkarya. Untuk, setiap minggu saya akan pastikan ada tiga hingga empat kandungan baru," katanya.

Sebelum itu, YouTube Malaysia mengumumkan lima YouTuber Malaysia yang disenaraikan dalam kelab Gold Creator Award apabila memperoleh lebih 1 juta pelanggan atau 'subscriber'. Ia dipilih berdasarkan kandungan unik membabitkan hiburan, komedi dan perniagaan.

Selain Baby Shima, empat lagi YouTuber ialah Mat Salleh TV, Zukieee, Jeff & Inthira dan VS Gag.

Sumber : HMetro