,

Pemandu Grab Ini Kongsi Pengalaman Bawa Pulang Penumpang Mabuk


Kisah seorang jejaka berkongsi pengalaman dirinya yang bekerja sebagai pemandu Grab membawa penumpang mabuk pulang ke rumah tular di laman sosial.

Menerusi laman sosial Twitter, kicauan jejaka yang dikenali sebagai Dinie Zil Iqram meraih perhatian wargamaya berikutan kes pemandu mabuk yang meragut nyawa orang tidak bersalah semakin menjadi-jadi.

Menurut Dinie, 26, dia akan bersedia dari segi mental dan fizikal setiap kali menerima tempahan penumpang daripada dua lokasi popular warga Kuala Lumpur iaitu TREC dan Jalan Changkat.




“Rutin harian Grab saya bermula 6 petang sampai 9 pagi. Saya suka memandu malam jadi kemungkinan untuk jumpa orang mabuk ni memang ada setiap malam.

“Bila mereka masuk dalam kereta, saya terus buka tingkap sebab bau busuk arak bercampur bau rokok. Campur sedikit semburan Febreze, kuranglah bau dia. Ada juga di antara mereka yang nak termuntah tapi saya ada sediakan plastik siap-siap kalau mereka mahu,” kata Dinie kepada Gempak.

Memulakan pekerja sebagai pemandu Grab selepas tamat pengajian, Dinie tetap melayan ragam penumpangnya walaupun mereka dalam keadaan mabuk.



“Ramai juga yang berbual dengan saya, bertanya pasal kehidupan, pelajaran dan sebagainya. Ada juga yang cerita masalah hidup, masalah dengan bekas kekasih dan masalah dekat pejabat. Ada juga yang minta nombor telefon saya untuk senang menempah perjalanan esoknya, taknak pemandu lain.

“Bila dah sampai rumah, selalunya mereka okay untuk keluar sendiri. Tapi ada juga yang kena papah.

“Ada sekali saya ambil penumpang dari TREC, nak hantar ke rumah di Cheras. Dia masuk je kereta, terus cakap “bro saya betul-betul mabuk ni kalau dah sampai kejut ya”.



“Seminit kemudian dia terus tak sedar diri sampai kepala dia jatuh ke arah bahu saya bila lalu jalan selekoh. Bila sampai, saya kena kejut berkali-kali sampai dia bangun. Dia tak larat nak jalan jadi saya papah dia sampai depan pintu rumah,” cerita Dinie.

Namun, apa yang menyedihkan adalah membawa pulang penumpang melayu yang mabuk.

“Daripada 10 orang yang mabuk, enam adalah Melayu. Sedih tapi saya berharap suatu hari nanti pintu hati mereka akan terbuka untuk bertaubat,” ujar Dinie lagi.

Ada wargamaya yang mengelarnya sebagai ‘unsung hero’ kerana bertanggunjawab membawa pulang penumpang mabuk, Dinie berharap sesiapa yang mabuk tidak akan memandu sendirian.

“Saya mohon mereka tidak memandu sendiri supaya tiada lagi nahas kemalangan disebabkan mabuk. Jangan jadi bodoh dan tidak bertanggungjawab.

“Hari ini mungkin orang lain hilang nyawa, tidak mustahil suatu hari nanti ahli keluarga terdekat anda pula yang hilang kerana dilanggar pemandu mabuk.

“Hukuman yang sedia ada tidak cukup untuk mengatasi masalah pemandu mabuk di negara kita ini. Kerajaan perlu kaji semula hukuman supaya diperketatkan lagi.

“Berapa banyak sudah nyawa yang hilang disebabkan pemandu mabuk. Kita tidak boleh melengahkan dan memandang rendah lagi isu ini,” jelas Dinie lagi sebagai nasihat.

Sumber : gempak.com