,

Masih Ramai Yang Belum Terima BPN Termasuk 40,000 Pemandu Teksi


Sebuah kumpulan yang mewakili pemandu teksi bercadang membuat rayuan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana tidak mendapat Bantuan Prihatin Nasional.

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia, Kamaruddin Mohd Hussain berkata kira-kira 40,000 pemandu teksi belum menerima bayaran “one-off” RM600 disebabkan pelbagai alasan.

Beliau berharap ia dapat diselesaikan minggu depan, selepas mengumpul maklumat pemandu teksi terbabit.

“Kami akan membuat rayuan rasmi kepada perdana menteri dan Kementerian Kewangan minggu depan.”




Kamaruddin berkata, antara alasan pemandu teksi tidak menerima bantuan ialah kad perakuan yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat tamat tempoh.

Tetapi, mereka masih boleh beroperasi secara sah selagi mempunyai lesen memandu, teksi dan Kenderaan Perkhidmatan Awam yang sah. Semua lesen itu dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Hooi Poh Onn yang sudah 6 tahun menjadi pemandu teksi, berkata tidak adil untuk Kementerian Kewangan menafikan pemandu teksi daripada bantuan Prihatin disebabkan kad perakuan.

Katanya, pendapatannya berkurangan daripada kira-kira RM120 sehari kepada RM35 kerana sekatan perjalanan di bawah perintah kawalan pergeraakan.


Beliau berharap rayuan Kamaruddin dapat membantu pemandu teksi di seluruh negara mendapatkan sedikit bantuan yang amat diperlukan.

“Saya sudah memperbaharui kad pemandu Apad saya dan membuat banyak rayuan, tetapi belum terima sebarang jawapan.

“Pemandu teksi bergelut kerana Covid-19, tetapi ada di antara kami tidak dapat bantuan ini kerana kesilapan kecil…tidak memperbaharui kad ini.

“Saya sudah memandu selama 6 tahun dan polis tidak pernah meminta kad ini daripada saya ketika sekatan jalan. Kamaruddin satu-satunya harapan kami sekarang.”

Sumber : freemalaysiatoday