Kerajaan sedang membincangkan larangan ke atas ibu bapa membawa anak kecil ke pasar raya atau pusat beli belah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat, yang dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan berharap ibu bapa mengambil tanggungjawab dan mengamalkan kawalan kendiri dengan tidak membawa anak-anak mereka ke tempat orang ramai.
“Kita tidak menetapkan peraturan untuk halang ibu bapa bawa anak ke pusat beli-belah dan sebagainya, bagaimanapun, seperti saya katakan, keselamatan anak tanggungjawab kita,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan pemberita adakah perniagaan boleh menetapkan peraturan yang tidak membenarkan kanak-kanak dibawa masuk ke premis, atau adakah ia boleh dimasukkan dalam PKPB.
Ismail berkata kerajaan boleh memasukkan larangan seperti itu ke dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit jika didapati berterusan.
“Kita kena tanya diri kita: adakah anak kita akan selamat jika berada dalam kumpulan manusia yang ramai dalam kawasan tertutup seperti di pasar raya?” katanya.
“Kita akan bincang.”
Sumber : freemalaysiatoday