,

KKM Kesan Kluster Baru Covid-19 Di Depot Tahanan


Kementerian Kesihatan berkata terdapat 1 kluster baru yang dikesan di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini, seramai 645 orang disampel secara keseluruhan dan 35 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“400 kes negatif Covid-19 dan 210 orang masih menunggu keputusan.

“Semua 35 kes positif tersebut melibatkan bukan warganegara Malaysia, iaitu 17 warga Myanmar, 15 warga India, 1 Sri Lanka, 1 Bangladesh dan 1 Mesir,” katanya pada sidang media hariannya.




Hisham berkata pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan telah pun dijalankan termasuk aktiviti nyah kuman, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta penekanan mengenai penjarakan sosial.

Katanya, punca jangkitan adalah masih dalam siasatan.

“KKM telah menyediakan perkhidmatan kesihatan ke semua pusat depot tahanan secara berjadual.

“Perkhidmatan ini diberikan oleh pasukan kesihatan dari klinik kesihatan yang terdekat,” katanya.

Kes wanita hamil positif Covid-19


Hisham berkata, ujian saringan 20 ahli keluarga kepada seorang wanita hamil di Kelantan yang dijangkiti Covid-19 adalah negatif, manakala 10 lagi masih menunggu keputusan.

Beliau berkata, hasil siasatan menunjukkan wanita itu yang berusia 31 tahun sudah mengandung 35 minggu.

Selain ahli keluarga, katanya, KKM akan mengesan kontak rapat wanita itu di Kelantan dan tempat asalnya di Ampang.

Semalam, KKM mengesahkan Kelantan kembali mencatatkan kes aktif Covid-19 selepas seorang ibu hamil yang dijangkiti virus itu dari Ampang pulang ke negeri itu untuk bersalin ketika kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri bulan ini.

Sumber : freemalaysiatoday