Kementerian Kesihatan menjangka dapat menurunkan kes baru jangkitan Covid-19 kepada 1 angka pada 12 Mei.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, negara akan berjaya mengurangkan angka kes baru Covid-19.
“Dalam model, kita dah lihat perlu seminggu lagi. Sepatutnya minggu lepas pada 5 Mei, tetapi kita anjakkan mungkin 12 Mei, sama ada 2 angka atau 1 angka (jangkitan baru),” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.
Noor Hisham berkata, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa 1,2 dan 3 telah berjaya menurunkan angka kes baru Covid-19.
“Iaitu dari 3 angka kepada 2 angka. Tujuan utama PKP adalah untuk mendatarkan atau melandaikan lengkuk graf kita.
“Jadi matlamat kita dah tercapai,” katanya.
45 kes baru Covid-19 direkodkan hari ini, dengan 1 kematian, menjadikan jumlah korban sebanyak 107 orang.
Sehingga kini 6,428 kes Covid-19 dicatatkan di seluruh negara dengan angka sembuh seramai 4,705 orang.
Malaysia mula melaksanakan PKP pada 18 Mac dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Inisiatif itu yang kini memasuki fasa ke-4 dijadual berakhir pada 12 Mei ini.
Sumber : freemalaysiatoday