Kuala Lumpur: "Rasa sebak saat mengikat tali kafan arwah, jenazahnya cukup lembut dan mudah diuruskan. Wajahnya tenang bagaikan sedang tidur."
Demikian pengalaman dikongsi Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid apabila diberi tanggungjawab mengetuai pengurusan jenazah pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Ismail Kamus.
Menurutnya, pihaknya tiba di Masjid As-Sobirin, Keramat pada 8.45 pagi dan selang beberapa minit jenazah tiba dari kediamannya.
"Alhamdulillah, saya rasa cukup bertuah kerana di hari Jumaat tanggal 15 Ramadan yang mulia ini saya diberi peluang mengetuai pengurusan jenazah almarhum Tuan Guru.
"Jenazahnya cukup lembut dan mudah diuruskan. Wajahnya tenang bagaikan sedang tidur.
"Anak serta cucu arwah juga turut hadir membantu memandikan jenazahnya," katanya dalam catatan di Facebook rasminya.
Menurutnya, dia bersama ahli skuad yang lain turut dibantu oleh ahli jawatankuasa Masjid As-Sobirin.
"Suasana di bilik mandi jenazah cukup menghibakan. Terdengar esak tangis di setiap ruang bilik mandi.
"Selepas semua ahli keluarga dan sahabat terdekat diberi peluang menatap wajah jenazah dan menciumnya buat kali terakhir, saya mengambil kesempatan untuk menjadi orang yang terakhir menciumnya sebelum menutup wajahnya.
"Saat menutup wajah arwah, perasaan sebak sukar untuk dikawal. Saya menangis dan tidak dapat mengikat tali kafan di bahagian kepala arwah dan ketika itu semua yang hadir mengalirkan air mata serta suasana bagaikan terhenti seketika," katanya.
Menurutnya, semuanya dipermudahkan selepas ketua pengurusan jenazah masjid berkenaan dikenali sebagai Mohamad datang membantunya.
"Haji Mohamad datang membantu saya untuk mengikat tali kafan di kepala arwah.
"Perasaan sebegini jarang saya alami pada setiap kali menguruskan jenazah. Mungkin kerana saya membesar dengan mendengar tazkirah dan ceramah arwah terutamanya program Forum Perdana Hal Ehwal Islam suatu ketika dahulu," katanya.
Menurutnya, hati dan perasaan terasa begitu dekat dengan arwah walaupun sepanjang hayat dia pernah berdepan sekali saja melalui ceramah di masjid.
"Jasa beliau dalam dunia dakwah dalam dan luar negara cukup besar. Alhamdulillah, saya bersyukur dan rasa sungguh bertuah kerana diberi amanah untuk menguruskan jenazah yang mulia ini.
"Semoga roh almarhum ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya. -HMetro