,

Jangan Pertikai Bantuan Aidilfitri Penjawat Awam Oleh Kerajaan


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta semua pihak, termasuk Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berlapang dada dalam soal pemberian bantuan khas Aidilfitri kepada kakitangan awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ini kerana ia hanya sedikit kelebihan berbanding yang dirasai oleh sektor swasta sebelum ini.

“Bahkan bonus dan imbuhan yang diterima oleh pihak swasta sebelum ini mungkin lebih besar, tetapi ia tidak pernah dipertikaikan oleh penjawat awam.

“Mereka tetap bertugas seperti biasa bagi memastikan kemakmuran yang dikecapi negara dapat dinikmati secara bersama oleh semua rakyat. Ketika itu tiada pun suara-suara daripada MEF yang meminta supaya penjawat awam turut diberikan bonus yang sama seperti sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.




MEF mengkritik keputusan kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam dengan berkata, pekerja sektor swasta yang terjejas akibat krisis Covid-19 berhak mendapat lebih banyak bantuan.

MEF berkata mereka yang berada di sektor swasta mengalami pemotongan gaji, pengurangan elaun atau terpaksa mengambil cuti tanpa gaji semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Isnin lepas kerajaan mengumumkan bantuan khas Aidilfitri kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan gred 56 ke bawah dan pesara kerajaan pada 20 Mei.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman dilaporkan berkata, pegawai sedang berkhidmat akan menerima RM500, sementara pesara kerajaan RM250.

Dalam pada itu, Adnan berkata, Cuepacs kesal apabila pemberian bantuan khas ini dipertikai oleh sesetengah pihak, terutama pihak yang mewakili suara majikan di sektor swasta seperti MEF.

Katanya, sebagai pihak yang mewakili suara majikan sektor swasta, MEF sewajarnya melihat pemberian bantuan ini daripada sudut pandangan yang lebih luas.

“Cuepacs percaya MEF menyedari bantuan yang diterima oleh penjawat awam ini secara tidak langsung turut membantu majikan dan sektor swasta, termasuk peniaga kecil untuk terus berkembang maju semula.

“Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada fasa ini membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi seperti biasa mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Restoran dan perniagaan sudah mula dibuka, kilang sudah beroperasi. Secara tidak langsung wang yang akan dibelanjakan penjawat awam melalui bantuan khas ini sudah pasti membantu merancakkan kembali perniagaan sektor swasta,” katanya.

Adnan berkata bagi pihak majikan, MEF sepatutnya mengetahui mengenai perkara ini dan tidak wajar terus membina persepsi yang negatif kepada kerajaan dan penjawat awam.

Katanya, Cuepacs percaya peruntukan untuk bantuan khas yang diterima oleh penjawat awam dibuat dan dirangka sebelum negara mengalami krisis pandemik Covid-19 lagi.

“Jika dilihat pada tahun-tahun sebelum ini, kerajaan memperuntukkan jumlah yang sama untuk diberikan kepada penjawat awam sebagai bantuan perbelanjaan semasa Aidilfitri.

“Justeru tiada isu mengenai keupayaan kewangan kerajaan kerana ia adalah sebahagian daripada peruntukan yang disalurkan setiap tahun kepada penjawat awam,” katanya.

Sumber : freemalaysiatoday