,

(Video) Berlinang Air Mata Wan Maimunah Terima Bantuan Makanan


Siapa tidak terkesan dengan watak lakonan pelakon veteran Wan Maimunah dalam semua naskhah? Apa khabarnya sekarang?

Terbaharu, bintang air mata itu tak mampu menahan tangis pada saat diziarahi Ustaz Sheikh Mohammad dan beberapa ustaz muda, beberapa hari lalu di kediaman anak angkatnya di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor.

Video perkongsian hati Wan Maimunah yang dirakam ahli keluarga menjadi tular apabila beliau kelihatan begitu sebak kerana ada pihak yang sudi bertanya khabar mengenainya.

"Saya dihubungi Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin beritahu ada ustaz nak datang.

"Alhamdulillah, terima kasih, rumah ibu jauh, tetapi ustaz tetap sudi datang. Setiap yang baik, Allah membalas dengan kebaikan juga hendaknya," katanya kepada BH Online.






Wan Maimunah menerima bantuan makanan untuk kegunaan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak pandemik Covid-19.

Ustaz Sheikh Mohammad bekerjasama dengan WHAM dan rakan artis seperti Zul Yahya dan Azza Elite yang mengenal pasti nama-nama pelakon veteran yang memerlukan bantuan.

Selain Wan Maimunah, Ustaz Sheikh Mohammad dan beberapa sahabat mengunjungi Datuk Wazata Zain, Hail Amir, Norlia Ghani, Shima, Sophia Ibrahim, Mak Jah, S Rohani, Mimi Loma, S Mariam, Aripah Damanhuri dan ramai lagi.

Sebelum ini, Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) turut menghulurkan sumbangan.

Sumber: BH Online, IG Tengku Khalidah