,

Tiada Kes Covid-19 Baharu Di Kedah, ICU Hospital Sultanah Bahiyah Tidak Ditutup


UNIT Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah tidak ditutup tetapi akan diguna semula jika ada pesakit koronavirus baharu (Covid-19) yang perlu dimasukkan ke situ.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, memang kes sudah berkurangan dan penggunaan ICU itu kepada mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Betul ICU itu tidak digunakan di HSB, namun ia bukan ditutup sebaliknya jika ada pesakit, kita akan gunakan semula,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.






Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 2,064 sampel diambil di Pasar Borong Kuala Lumpur dengan 28 kes dikesan positif Covid-19 selain satu kematian direkodkan di kawasan itu.

“Kes positif di pasar borong itu juga sudah diambil tindakan dan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

“Kita sudah memberi nasihat dan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara dan apa yang diumumkan menteri, kita ikut arahan itu,” katanya.

Beliau juga menasihatkan warga asing yang berisiko supaya tampil ke klinik kesihatan untuk menjalani saringan dan ujian.

“Sekarang aktiviti setempat di pasar borong itu tertumpu di situ di mana kita harap dapat saring lebih ramai dan belajar dari negara jiran supaya tindakan dapat dipercepatkan untuk mengawal penularan kes positif dalam kalangan bukan warganegara.

“Selain itu kepada pekerja warga asing yang ada pas lawatan kerja tetapi sudah tamat, saya syorkan mereka juga tampil ke depan untuk menjalani saringan itu kerana yang penting fokus utama supaya mereka tidak dijangkiti atau menjangkiti,” katanya.




Sumber : HMetro