,

Pereka Fesyen Rizman Ruzaini Hadiahkan Baju Raya


Duo fesyen terkemuka, Rizman Nordin dan Ruzaini Wan Jamil dari jenama Rizman Ruzaini turut ingin menyumbang kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus menjaga keselamatan rakyat Malaysia daripada wabak Covid- 19.

Beberapa hari lalu di Instagram rasmi Rizman Ruzaini, mereka mengumumkan untuk memberikan penghargaan kepada tenaga barisan hadapan.

 
"Rizman Ruzaini ingin memberikan kembali dan memberi penghargaan kepada frontliners yang kini sedang membanting tenaga.



"Caranya mudah. Hantarkan gambar unik ketika bertugas dan tag Rizman Ruzaini. Kami akan memilih 3 pemenang paling kreatif dan akan dihadiahkan sepasang baju raya," tertulis sebagai syarat pertandingan.
 
Namun apa yang mereka lakukan adalah lebih daripada itu. Pada asalnya mereka ingin memilih tiga pemenang, tetapi membuat keputusan untuk memberikan hadiah baju raya kepada semua yang menyertai pertandingan tersebut.

 
"Tidak banyak yang kami mampu bantu tetapi kami harap ianya dapat menceriakan anda semua daripada kami buat frontliners tercinta.
 
"Anda semua adalah hero sebenar dan kami salut anda. Tahniah dan kami berdoa semoga kita semua akan mendapat rahmat Ramadan dan selamat berhari raya memakai baju Rizman Ruzaini," tulis pengumuman tersebut.

Tahniah kepada Rizman dan Ruzaini kerana turut sama menceriakan dan memberi kegembiraan buat barisan hadapan kita. -gempak.com-