,

Mohd Sobri Terperangkap Di Bangunan Selangor Mansion, Masjid India


Selepas berita mengenai salah seorang pelakon Keluarga Iskandar, terperangkap di bangunan Selangor Mansion, Jalan Masjid India kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ruangan komen di sosial media Facebook (FB) Mohd Sobri Anuar Tarmizi mula dihujani komen dan kata-kata semangat.

Komen-komen yang ditinggalkan rata-ratanya mendoakan keselamatan Mohd Sobri atau lebih mesra dipanggil Boy itu.

Mohd Sobri kemudiannya membalas komen-komen ditinggalkan dan memberitahu dia berada dalam keadaan baik serta mengucapkan terima kasih kerana mendoakan kebaikan buat dirinya.

Cuma Mohd Sobri kini kurang sihat dan mengalami gejala demam sejak Isnin dan yang menjadi masalah buat dirinya ialah sukar untuk mendapat bekalan makanan dan ubat-ubatan.






"Saya ke sini semalam kerana ada tugasan sikit yang perlu dilaksanakan. Namun ketika hendak turun dan keluar dari bangunan ini pada waktu Subuh, saya dihalang keluar dari bangunan berkenaan kerana PKPD telah pun dilaksanakan.

"Saya terpaksa berkurung dalam bilik saya sehingga kini dan tidak dapat ke mana-mana. Lebih malang saya turut mengalami demam sejak malam tadi dan harap pasukan perubatan dapat datang segera untuk membolehkan saya diperiksa," katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Perlaksanaan PKPD ke atas Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion dibuat berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Sementara itu menurut laporan Harian Metro, Mohd Sobri yang masih bujang balik ke bilik sewa itu sekali- sekala kerana menetap bersama ibu bapanya di Klang, Selangor.

Kira-kira jam 1.30 petang Rabu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menghantar pasukan perubatan ke kawasan tersebut untuk membuat pemeriksaan saringan bagi mengesan penghuni bergejala wabak COVID-19.

“Selepas sampel diambil, saya cuba positifkan diri dan berharap ia demam biasa dan tidak mahu terlalu berfikir negatif. Apatah lagi, ibu bapa dan keluarga memberi saya semangat.

“Malah, ramai juga rakan artis menghubungi saya untuk memberi kata-kata positif dan minta banyak berdoa dalam berhadapan situasi berat ini,” katanya yang juga bekas peserta Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Bawal Power.

Mohd Sobri berkata, dia bersyukur pihak KKM sudah menghantar pasukan perubatan datang ke kawasan bangunan itu untuk melakukan ujian saringan semua penghuni terbabit.

“Kini, saya cuma berdebar menunggu keputusan yang akan diterima nanti dan berharap dapat mengetahuinya secepat mungkin untuk rawatan awal.

“Namun, harapan saya semoga kesihatan okay dan gejala dialami ini hanya demam biasa. Mohon doakan yang baik-baik saja,” katanya. -gempak.com-