,

Lebih 11,000 Ditahan Ingkar PKP! Tiada Lagi Kompaun, Terus Dihadapkan Ke Mahkamah


Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertoleransi dengan mana-mana individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga.

Memetik laporan Astro Awani, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata individu yang ingkar arahan PKP tidak lagi diberikan notis kompaun, sebaliknya terus dihadapkan ke mahkamah.

Setakat Rabu, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP adalah sebanyak 11,017 individu.

"Sebanyak 56,052 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,364 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.



"Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menangkap 1,315 individu kerana ingkar PKP, dengan 1,226 individu direman dan 89 individu dijamin polis.

"Sebanyak 312 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP," katanya dalam sidang media kepada Astro Awani.

Beliau turut memaklumkan PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 813 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan membabitkan pemeriksaan terhadap 558,548 kenderaan.


Tambahnya lagi, peningkatan tersebut menunjukkan bahawa masih terdapat banyak kenderaan yang meneruskan perjalanan ketika pelaksanaan PKP.

"Saya ingin memberi peringatan bahawa undang-undang tentang PKP ini masih lagi berjalan seperti biasa (kerana) PKP masih lagi belum ditarik balik.

"PKP berterusan lagi untuk fasa ketiga dan sesiapa yang ingkar akan dikenakan tindakan di bawah PKP. Jadi, kehadiran kenderaan yang banyak ini seolah-olah lupa bahawa PKP masih lagi dilaksnakan dan mereka tertakluk kepada undang-undang PKP," katanya.

Sumber: Astro Awani