Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Eizlan yang dikurniakan pangkat Kolonel Bersekutu (PA), terharu dengan komitmen ditunjukkan petugas barisan hadapan, setiap kali menyertai misi APM membantu mereka.
“Orang ramai tidak nampak dan tidak tahu bagaimana petugas barisan hadapan kita bekerja. Melihat mereka bekerjalah membuatkan saya lebih bersemangat untuk turun padang.
“Apabila berkunjung ke hospital dan melihat mereka, misalnya, petugas kesihatan bekerja, saya menatap wajah lesu dan letih akibat bertugas lebih masa. Entah makan entah tidak, semata-mata membantu masyarakat, semuanya memberi kesan pada saya.
“Pakaian perlindungan diri (PPE) bukanlah selesa, bukan sahaja panas, ada kawan beritahu, pelbagai perasaan timbul ketika menyarung pakaian itu,” katanya kepada BH Online.
Eizlan berkata, melihat anggota keselamatan bertugas dalam hujan dan panas, meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.
“Saya pernah lihat mereka bekerja dalam hujan, biar lebat mana sekalipun mereka tidak berganjak... Cuba fikir apa perasaan mereka ketika itu,” katanya yang diangkat sebagai Ikon Sukarelawan APM CDERT Ohhsem Network.
Eizlan mengaku kagum melihat kesungguhan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan APM bekerja tanpa mengira masa dan cuaca.
Bapa tiga anak ini aktif membantu menyediakan bekalan makanan dan keperluan asas yang disumbangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings.
“Sudah dua tahun saya menyertai APM. Sudah banyak aktiviti yang saya sertai seperti bantuan kemanusiaan ke Palu, Indonesia dan terbaru, misi COVID-19.
“Saya bersama pasukan CDERT Ohhsem iaitu pasukan di bawah APM yang memberi sokongan kepada barisan hadapan. Kami turun padang untuk membantu petugas barisan hadapan dan golongan sasar melalui bantuan diberikan.
“Kami menyiapkan pek makanan dan keperluan asas yang disumbang rakyat dan NGO untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan,” katanya.
Mengenai pembabitan isterinya, Datin Seri Natasha Rosa Boudville dalam misi sama, Eizlan berkata, Natasha juga anggota APM.
“Orang fikir Natasha turun padang disebabkan dia isteri saya. Sebenarnya dia anggota APM. Kami bergerak di bawah pasukan CDERT Ohhsem,” katanya.
SUMBER : BH