Prihatin dengan barisan hadapan yang bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab mereka ketika COVID-19 melanda negara, Siti Elizad menyediakan 100 bungkusan makanan untuk diagihkan kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di sekitar ibu kota.
Menurut Elizad, inisiatif itu adalah bagi menghargai sumbangan anggota bertugas yang terpaksa berpanas dan berhujan untuk melakukan sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Sebelum ini kalau pergi kerja mesti bertembung dengan sekatan jalan raya, tapi sejak bekerja dari rumah minggu ini depan rumah saya pula kerap ada sekatan.
“Melihat keadaan mereka yang sanggup bertugas dalam keadaan panas dan hujan lebat, saya terfikir untuk menyediakan makanan untuk mereka sebab saya pun suka memasak. Semua saya masak sendiri.
”Alhamdulillah, semalam saya sediakan nasi hujan panas buat mereka dan hari ini saya masak sup kambing serta lempeng kelapa,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu niat murni pelakon itu tidak terhenti setakat itu sahaja, Elizad berkata dia dalam perancangan untuk menghantar makanan kepada jururawat dan petugas barisan hadapan lain pula.
“Saya ada menerima mesej peribadi daripada jururawat yang ingin saya menghantar makanan kepada mereka.
“Tapi saya tak tahu prosedur yang betul. Takut nak memandai-memandai hantar kepada mereka. Lagipun sekarang ini saya perlu hadkan pergerakan.“Namun jika ada peluang saya memang nak hantar makanan kepada mereka. Mungkin dengan cara ini saya dapat gembirakan hati mereka,” katanya
Bagus tindakan Elizad yang lebih mengutamakan pasukan barisan hadapan negara yang terpaksa meninggalkan keluarga untuk bertugas. Kalau diikutkan mereka juga mahu duduk di rumah bersama keluarga, namun demi negara mereka sanggup berkorban.
SUMBER
HARIAN METRO