Disaat-saat penularan wabak COVID-19 di negara kita, petugas kesihatan antara individu yang paling bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab mereka namun ada sesetengah pihak tidak menghargai pengorbanan mereka.
Hangat diperkatakan apabila Hospital Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan dua video yang telah menjejaskan imej Hospital Putrajaya dan kredibiliti kakitangan serta para pegawai perubatan dalam mengendalikan wabak COVID-19.
Difahamkan, video pertama dipercayai milik penyanyi Dayangku Intan yang mempunyai impak tontonan tinggi dan juga video milik Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA yang menyokong isu dibicarakan oleh Dayang.
Menerusi video tersebut, Dayang berkata dia mengalami demam, sakit kepala, tekak dan badan. Menyedari simptom yang dialami sama dengan COVID-19, dia segera ke Hospital Putrajaya untuk melakukan pemeriksaan.
Malah, Dayang berkata dia ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan atas saranan rakannya yang juga doktor pakar. Namun, Dayang mendakwa mendapat layanan kurang memuaskan.
Katanya lagi, penularan video berkenaan sekaligus telah memberi tekanan emosi kepada para petugas sedangkan sokongan moral dan semangat yang harus diberikan, dan bukannya kata cacian dan kesat.