Pelakon Bollywood terkenal, Akshay Kumar meluahkan rasa geram apabila masih ada lagi segelintir masyarakat yang tidak mematuhi arahan kerajaan untuk kekal berada di rumah.
Akshay meluahkan rasa kecewanya itu menerusi video pendek yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya semalam.
Kata Akshay, sikap degil yang dilakukan masyarakat itu hanya akan mengundang perkara buruk.
“Setiap kali saya berbicara tentang apa yang terbuku di hati dengan cara sopan namun hari ini saya berasa sungguh marah.
“Maafkan saya sekiranya apa yang saya katakan ini agak kasar dan mungkin menyinggung perasaan. Adakah sesetengah orang memang tidak pedulikan perkara ini?
“Siapa di sini yang tidak faham dengan perkataan lockdown? Kamu fikir kamu seorang yang sangat berani? Tindakan seperti ini hanya akan membuatkan anda semua berada dalam keadaan yang lebih bermasalah.
“Kamu akan berakhir di hospital dan membuatkan keluarga anda turut sama sakit… Tiada siapa yang akan ditinggalkan. Gunakanlah otak anda, tolonglah saya merayu,” ujarnya.
Terdahulu, Akshay bertindak demikian kerana tidak tahan dengan sikap ambil mudah masyarakat di India yang tidak mematuhi perintah kerajaan untuk menangani wabak pandemic, COVID-19.
Buat pembaca Gempak, apa-apa pun pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Sumber: Hindustan Times