Anugerah Juara Lagu 33 sudah pun melabuhkan tirainya malam semalam dan tahniah diucapkan kepada pemenang. Bagaimanapun di media sosial, AJL33 masih lagi menjadi bualan hangat netizen.
Turut menjadi perhatian, status oleh penyanyi terkenal Adibah Noor yang mendedahkan bahawa pemenang atau Juara AJL sudah dipilih sejak awal lagi sebelum pentas akhir berlangsung.
BACA: Haram Bergelar Juara Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33)
Menerusi Twitter, Adibah memberitahu hanya kategori Persembahan Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik sahaja yang diadili oleh pihak juri malam semalam dan hasil undian penonton.
“Anda semua perlu tahu bahawa juara lagu sudah diputuskan lebih awal iaitu sebelum malam pertandingan. Malam ini enjoy persembahan sajalah ya.
“Sebab malam ini ada hadiah vokal dan persembahan terbaik yang diadili pada malam ini. Barisan pengadil yang dipaparkan tadi sudah decide lama dah. Malam ni mereka pilih yang dua kategori tu je,” tulisnya.
Tweet tersebut ternyata mengejutkan netizen yang selama ini menyangka keseluruhan persembahan di adili pada malam pertandingan.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat ianya keputusan tidak adil kerana ada yang menyanyi tidak bersungguh-sungguh tetapi boleh menang.
Namun ramai netizen memahami mengapa penjurian diadili lebih awal kerana konsep pertandingan tersebut adalah untuk penilaian lagu dan lirik, bukan kehebatan vokal atau cara persembahan semata-mata. -rotikaya-