Kes keracunan makanan akibat puding buih yang melibatkan 99 pesakit di Terengganu baru-baru ini berpunca daripada penggunaan telur tamat tempoh.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Alias Razak berkata kesilapan peniaga itu kerana menggunakan telur bertarikh luput lebih 2 minggu.
“Tindakan pun telah diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan menutup dapur premis untuk jualan puding buih tersebut mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari sehingga 7 Jun,” katanya semalam.
Baru-baru ini, media melaporkan 99 pesakit menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hospital swasta dan rawatan pesakit luar di beberapa klinik kerajaan serta swasta selepas cirit-birit, muntah dan demam akibat makan puding buih yang dibeli dalam talian pada 22 Mei lalu.
Daripada 99 kes itu yang membabitkan 20 keluarga, 77 pesakit tinggal di Kuala Terengganu dan 22 lagi dari Marang.
Sementara itu, Alias berkata, kerajaan negeri akan membuat kajian terperinci berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk peniaga kecil makanan yang beroperasi di rumah bagi mengelakkan kejadian itu berulang pada masa depan.
“Kebanyakan mereka tidak mempunyai lesen berniaga, hanya memasak di rumah dan memasarkannya dalam talian yang kita tak tahu bagaimana pengendalian masakan serta tahap kebersihan yang diamalkan.
“Jadi, kami minta Jabatan Kesihatan sediakan satu SOP untuk peniaga makanan yang beroperasi dari rumah agar dapat bantu mereka jana ekonomi dan pada masa sama pastikan keselamatan makanan yang dijual.
“Penyedia makanan juga perlu suntikan khas serta mengamalkan tahap kebersihan yang sepatutnya sama seperti peniaga beroperasi di premis perniagaan lain.”
Sumber : freemalaysiatoday