,

Pemandu Rempuh Tapak Penjaja Di Bukit Sentosa Direman 5 Hari


Pemandu pacuan 4 roda yang melanggar 5 orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa, Hulu Selangor semalam direman 5 hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata teman wanitanya dari Myanmar yang berusia 25 tahun ditahan 14 hari sehingga 6 Jun ini kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Katanya, wanita asing itu ditahan bersama lelaki berusia 32 tahun di tempat kejadian dengan kedua-duanya disiasat atas cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan berkelakuan tidak senonoh di sebuah balai polis mengikut Seksyen 90 Akta Polis.

“Majistret membenarkan kami mereman lelaki itu selama 5 hari mulai hari ini sehingga Rabu (27 Mei).”




Semalam, beberapa rakaman video yang dikongsi laman Facebook “Info Roadblock JPJ/Polis” menunjukkan pemandu Toyota Hilux itu membuat beberapa pusingan di dalam tapak penjaja di Hulu Selangor.

Keadaan itu menyebabkan pengunjung bertempiaran menyelamatkan diri dan kekecohan timbul di tapak berkenaan.

Menurut polis, siasatan awal mendapati suspek dalam keadaan mabuk semasa kejadian yang menyebabkan 4 lelaki dan seorang wanita dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun mengalami luka ringan.

Dua kereta, 2 motosikal dan 2 khemah penjaja turut rosak dilanggar kenderaan itu.


Media melaporkan lelaki itu mengamuk kerana tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki mengetuk cermin sisi keretanya, semasa dia membunyikan hon untuk melepasi jalan sesak dekat Jalan Besar Bukit Sentosa semalam.

Sumber : freemalaysiatoday