,

Pemandu Hilux Mengaku Tidak Bersalah Langgar Penjaja


AHLI perniagaan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, hari ini, atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan penjaja di pasar malam pekan Bukit Sentosa, 22 Mei lalu.

Kang Ming Han, 32, yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Tertuduh yang memakai baju kemeja T berwarna merah dan berseluar jeans pendek dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor jam 9.40 pagi tadi.




Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh apabila mengeluarkan kata-kata kesat pada anggota polis di Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor dan didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh terhadap penjaja iaitu Norisham Abdul Rashid, 42, Mahadin Senan, 41, dan Baharum Ab Manaf, 61, dengan cara melanggar mangsa menggunakan Toyota Hilux.

Tertuduh didakwa melakukan pertuduhan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan di Tapak Pasar Ramadan di Pekan Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada jam 6.35 petang.

Jika disabitkan kesalahan dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mohamad Amin mencadangkan mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Bagaimanapun peguam tertuduh Muhammad Adhwa Azfar merayu mahkamah supaya membenarkan jaminan rendah dan munasabah.

"Selepas kejadian, Orang Kena Tuduh (OKT) datang sendiri ke balai polis dan serah diri untuk membantu siasatan. Ini adalah kes jenayah pertama tertuduh, maka saya harap mahkamah mengenakan jaminan serendah RM3,000 dengan seorang penjamin," katanya.

Bagaimanapun Ahmad Zuhaini menjelaskan jaminan RM30,000 dicadangkan kerana mengambil kira insiden rempuhan oleh tertuduh membabitkan orang ramai di pasar semasa Ramadan.

Nurul Mardhiah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 Julai ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan kes.

Sumber : HMetro