,

Murah Tapi Boleh Bawa Maut


PENGGUNA yang gemar membeli atau menukar alat ganti elektrik serta elektronik tiruan berdepan dengan risiko renjatan elektrik, kebakaran dan perkakas yang mudah rosak.

Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan kepada pengguna bahawa mereka mungkin berdepan dengan risiko kemalangan elektrik yang boleh membawa maut atau kecederaan serius kerana kelengkapan berkenaan tidak diuji keselamatannya oleh makmal ujian yang diiktiraf.

Menerusi kenyataan khusus ST kepada Metro Ahad, agensi itu menjelaskan bahawa ini berbeza dengan kelengkapan elektrik yang diluluskan oleh ST yang sudah menjalani ujian keselamatan dan diyakini bebas daripada bahaya elektrik.




"Berdasarkan rekod, bagi 2018 sehingga September 2019, sembilan premis jualan dan gudang sudah diserbu oleh ST dengan nilai barangan rampasan kira-kira RM350,000.

"Antara kelengkapan yang dirampas termasuk penyesuai sambungan (adaptor), soket, mesin basuh, pemanas air, kipas dan mesin pembuat kopi yang didapati tidak dilekatkan dengan label keselamatan SIRIM-ST.

"Sementara itu, 130 premis jualan diberi notis amaran pada tahun ini kerana menjual dan mempamer kelengkapan elektrik yang tidak berlabel dan risiko bahaya ini termasuk kepada peralatan alat ganti elektronik seperti bateri menerusi telefon pintar.

"Selain itu, ST turut bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk menahan kargo yang didapati mengandungi kelengkapan elektrik yang tidak mendapat kelulusan ST yang diimport masuk melalui pelabuhan atau pintu masuk negara," katanya.

ST menjelaskan bahawa kelengkapan elektrik yang diluluskan oleh ST dan dilabel dengan label SIRIM-ST diuji oleh makmal yang diiktiraf daripada segi keselamatannya.

Katanya, ia lebih selamat untuk digunakan berbanding dengan kelengkapan elektrik yang tidak mempunyai label.

"Tidak dinafikan terdapat kelengkapan elektrik yang murah di pasaran, ini adalah kerana ia tidak melalui proses pengujian dan kelulusan yang ketat.

"ST menasihati orang ramai supaya tidak hanya melihat kepada harga, tetapi lebih mementingkan aspek keselamatan dalam memilih dan membeli kelengkapan elektrik.

"Kami juga ingin menasihatkan kepada pengguna sebelum membeli sesebuah peralatan atau kelengkapan elektrik, pengguna perlu memastikan kelengkapan tersebut diluluskan oleh ST dengan melihat label SIRIM-ST yang dilekatkan pada kelengkapan tersebut," katanya.

Sumber : HMetro