,

Mahkamah Diberitahu Usaha Sama 1MDB-PSI Hasil Hubungan Baik Najib Dan Raja Saudi


Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu usaha sama antara PetroSaudi International (PSI) dan 1MDB terjalin kerana hubungan baik Najib Razak dan bekas raja Saudi, Raja Abdullah.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian semasa disoal peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-35 perbicaraan.

Respon Shahrol itu ketika peguam menyoalnya, yang selalu mengulangi tentang usaha sama kerajaan dengan kerajaan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Saksi itu berkata kedua-dua pihak berusaha keras untuk menjayakan urusan perniagaan itu.




Shafee: Anda tidak tertanya apakah jenis urusan kerajaan dengan kerajaan ini apabila rakan usaha sama anda itu tidak mahu tunjuk akaun kepada anda?

Shahrol: Asas kerjasama ini bersifat peribadi – antara Najib dan Raja Abdullah. Itulah yang saya diberitahu dan ada gambar ditunjukkan kepada saya. Saya tiada sebab untuk meragui yang ia bukan hubungan kerajaan dengan kerajaan.

Mengenai perkara lain, saksi ke-9 pihak pendakwaan itu berkata lembaga pengarah 1MDB berhati-hati dengan apa yang diminitkan dalam mesyuarat bagi melindungi imej Najib.

Shahrol berkata semasa beliau berkhidmat sebagai CEO antara 2009 dan 2013, beberapa perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat lembaga tidak direkodkan bagi mencegah sebarang “serangan politik” terhadap perdana menteri itu ketika itu.


Saksi berkata demikian apabila Shafee bertanyakan adakah beliau maklumkan kepada lembaga tentang kesukaran memperolehi dokumen untuk mengaudit akaun 1MDB oleh firma audit, Ernst and Young.

Ernst and Young dikatakan enggan menandatangani penyata kewangan 1MDB kerana tidak berpuas hati tentang aset usaha sama yang 1MDB miliki dengan PSI.

Khidmat syarikat itu sebagai juruaudit 1MDB dibatalkan dan digantikan dengan KPMG Malaysia.

Shahrol juga menepis cadangan oleh Shafee bahawa sebagai CEO, beliau mengetepikan semua isu yang dibangkitkan Ernst and Young dengan menukar juruaudit.

Saksi itu memberi keterangan dalam perbicaraan Najib, yang dituduh dengan 25 tuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa berkaitan dana yang didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Sumber : freemalaysiatoday