,

Lagi Kluster Baru Covid-19 Dikesan Depoh Tahanan Imigresen


Kementerian Kesihatan memaklumkan mengesan kluster baru Covid-19 di depoh tahanan imigresen di Semenyih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 21 kes baru dikesan di depoh berkenaan.

“Ini menjadikan kes keseluruhan sebanyak 21 kes,” katanya pada sidang media hariannya hari ini.

Semalam KKM berkata, depoh tahanan imigresen di Bukit Jalil dikategorikan sebagai kluster aktif berikutan pertambahan 25 kes baru Covid-19.




Noor Hisham berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kluster berkenaan 60 kes.

Semalam dilaporkan semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di depoh Bukit Jalil dan Semenyih perlu menjalani ujian swab selepas jangkitan Covid-19 dikesan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang positif dihantar ke pusat kuarantin pesakit Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kluster aktif lain adalah kluster Pedas, Negeri Sembilan, berikutan pertambahan 1 kes menjadikan jumlah kes keseluruhan kluster itu sebanyak 163.


“Kluster tapak pembinaan Setia Alam juga ada pertambahan 1 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 13 kes,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, setakat ini tiada pertambahan kes susulan insiden seorang pegawai yang menghadiri satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin dijangkiti virus Covid-19.

Beliau berkata, setakat ini 35 pegawai yang menghadiri mesyuarat itu negatif Covid-19 selepas disaring.

“Bagaimanapun mereka perlu menjalani kuarantin 14 hari. Ini nasihat kami kepada mereka. Kita akan buat ujian swab pada hari ke-13. Jika semua ok, mereka boleh kembali kerja,” katanya.

Semalam, Muhyiddin disahkan negatif Covid-19 berikutan perkembangan itu.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, beliau diarah menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang semalam.

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di pejabatnya Rabu lalu.

Sumber : freemalaysiatoday