,

Covid-19 Makin Serius Malah Jauh Daripada Berakhir - Dr Noor Hisham


"PANDEMIK ini dilihat semakin serius dan masih jauh daripada berakhir," itu tegas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 5,559,130 kes Covid-19 dicatatkan di seluruh dunia sehingga 26 Mei 2020 dan daripada jumlah itu sebanyak 348,610 kes kematian dilaporkan.

Beliau berkata, setakat ini Malaysia menyumbang 0.14 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dari seluruh dunia.

"Selepas peningkatan kes Covid-19 naik tiga angka beberapa hari lalu di Malaysia, hari ini didapati kes baharu berkurang kembali kepada dua angka.




"Daripada jumlah kes baharu hari ini iaitu 15 kes, sebanyak lima kes adalah penularan tempatan dalam kalangan warga negara Malaysia.

"Peningkatan kes positif Covid-19 yang dilaporkan sejak beberapa hari lalu adalah disebabkan pengesanan kes Covid-19 di beberapa Depoh Tahanan Imigresen (DTI) dan lain-lain kluster aktif yang membabitkan bukan warga negara Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, peningkatan kes sebelum ini adalah susulan tindakan pendekatan tertumpu kerajaan dalam membendung penularan kes Covid-19.

"Manakala penurunan kes Covid-19 penularan tempatan adalah selaras dengan unjuran sebelum ini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Selain itu, ia adalah hasil tindakan kesihatan awam yang dilaksanakan sejak satu bulan lalu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Penurunan ini turut dibantu dengan pematuhan orang ramai terhadap norma dan kelaziman baharu serta Prosedur Standard Operasi (SOP) ditetapkan bagi pelbagai sektor dan industri," katanya.

Namun begitu, katanya, KKM khuatir mungkin akan berlakunya peningkatan kes Covid-19 susulan pergerakan orang ramai melalui aktiviti kunjung-mengunjung, merentas negeri dan pergaulan dalam kalangan masyarakat semasa sambutan Aidilfitri.

Menurutnya, ia berdasarkan maklumat diperolehi semasa sidang media Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjelaskan sebanyak 2,449,556 kenderaan sudah diperiksa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 16 Mei hingga kini.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 18,303 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan diarah berpatah balik oleh PDRM. Syabas diucapkan kepada pihak PDRM atas usaha ini.

"Sewajarnya, tanggungjawab kita bersama untuk melakukan segala usaha yang diperlukan dalam menangani dan membendung penularan jangkitan Covid-19 di negara kita," katanya.

Beliau berkata, sekiranya masyarakat leka, tidak patuh dan ingkar kepada SOP yang ditetapkan, KKM menjangkakan akan berlakunya peningkatan mendadak kes Covid-19.

Menurutnya, jika itu berlaku seterusnya boleh mengakibatkan gelombang yang baharu bagi wabak Covid-19 di negara ini.

"Oleh itu, masyarakat harus berwaspada dan tidak mengambil mudah situasi penurunan kes (hari ini).

"Seperti yang KKM maklumkan sebelum ini, peperangan menghadapi virus Covid-19 ini masih belum tamat," katanya.


Sumber : HMetro