,

44 Kes Kluster Baharu Covid-19 Di KL, Kerajaan Umum Tutup Tapak Pembinaan


Menteri Kanan (Infrastruktur), Fadillah Yusof memberi peringatan keras kepada kontraktor mengenai tanggungjawab mereka dalam menyediakan tempat tinggal yang memenuhi garis panduan dan undang-undang kepada pekerja.

Katanya, beliau bimbang dengan kluster terbaru Covid-19, termasuk 44 orang daripada sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur yang terdiri daripada 43 pekerja asing dan seorang pengawal keselamatan tempatan.

“Kes positif ini dikesan selepas kontraktor menghantar 400 pekerjanya untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai sebahagian persiapan untuk memulakan kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian itu diperlukan di bawah prosedur operasi standard (SOP) untuk industri pembinaan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).




Fadillah berkata, tapak pembinaan belum memulakan operasi ketika kes positif itu dikesan.

Katanya, tapak itu termasuk rumah kongsi pekerja sudah diarahkan tutup untuk pembersihan dan sanitasi.

Kira-kira 200 pekerja kini menjalani kuarantin, manakala 44 kes positif itu sedang dirawat.

Katanya, pekerja itu dijangkiti di tempat tinggal mereka yang sempit dan tidak mungkin mengamalkan penjarakan sosial.

Seramai 228 pekerja tinggal di rumah kongsi bersebelahan tapak pembinaan itu.

Beliau berkata, Program Transformasi Industri Pembinaan, yang mula dilaksanakan pada 2016, menekankan standard minimum untuk tempat tinggal pekerja.

Syarat ini digariskan dalam Piawaian untuk Perumahan dan Kemudahan Pekerja Tapak Binaan dan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

“Undang-undang menjadikan ia tanggungjawab majikan bagi memastikan pekerja menyediakan penginapan sewajarnya dengan kemudahan mencukupi.

“Dengan PKPB, syarat ini dipertingkatkan lagi dengan SOP lain untuk memastikan Covid-19 tidak merebak di tempat tinggal pekerja.”

Katanya, kontraktor yang gagal mematuhi undang-undang dan SOP berkaitan akan dilarang menyambung semula operasi dan mungkin tindakan diambil terhadap mereka.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), katanya, boleh menggantung atau membatalkan pendaftaran kontraktor.

Fadillah berkata, kaedah selepas Covid-19 untuk syarikat pembinaan ialah mengelakkan pengambilan buruh asing murah dan melabur dalam pekerja tempatan berkemahiran serta memanfaatkan teknologi, termasuk Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Sumber : freemalaysiatoday