,

Shiha Zikir Belajar Mengaji Dari Peringkat Iqra' Ketika PKP


Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan ini ternyata memberi seribu hikmah buat penyanyi Shiha Zikir yang mengambil peluang mengisi masa terluang dengan memantapkan ilmu agama.

Menurut Shiha, sepanjang PKP dia berkesempatan mengikuti kelas mengaji Al-Quran secara atas talian bersama Salima Habibi dan Heliza Helmi. Shiha berkata sebelum ini dia terlalu sibuk dengan kerja dan tidak berpeluang untuk melakukan perkara tersebut.




“Sejujurnya jadual saya agak terjejas tapi saya percaya setiap apa yang terjadi pasti ada hikmahnya. Saya anggap PKP ini seperti rezeki untuk saya. Sebelum ini saya terlalu sibuk dengan kerja. Tapi Alhamdulillah sepanjang PKP ini saya dapat belajar mengaji Al-Quran.

“Sekarang saya belajar dengan Salima Habibi dan Heliza Helmi. Memang dah boleh baca dan tahu Alif ba ta tapi saya tetap nak belajar dari mula,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Shiha berkata dia sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan sekiranya tempoh PKP terpaksa dilanjutkan demi keselamatan seluruh rakyat kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik buat semua pihak.

“Bagi saya, jika PKP dilanjutkan dan apa saja yang disarankan kerajaan, saya akan sokong 100 peratus sebab mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk rakyat.

“Mungkin ada segelintir rakyat yang tertekan sebab kehilangan punca pendapatan. Tapi jangan risau, kerajaan dah berikan banyak inisiatif untuk membantu dan banyak persatuan yang turut menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.


SUMBER Rotikaya
MSTAR ONLINE