Pendedahan itu dibuat secara eksklusif di akaun YouTube miliknya, Jeeseokjin World baru-baru ini.
Menurut Suk Jin, dia melakukan tindakan tersebut kerana merasakan dirinya tidak begitu sesuai untuk Running Man.
“Program itu tidak sesuai untuk saya. Memang agak sukar untuk saya menyesuaikan diri sejak dari mula lagi. Peranan menjadi hos dan pemain adalah sangat berbeza.
“Disebabkan saya adalah pemain (dalam Running Man), jadi untuk memberikan komen atau membuat lawak adalah sangat berbeza berbanding dengan program variati lain.
“Memang benar saya alami kesukaran dalam Running Man. Saya juga meminta untuk bertemu dengan pengarah Cho Hyo Jin secara personal sebanyak tiga kali dan mengatakan bahawa saya mahu menarik diri.
“Saya katakan padanya saya rasa kehadiran saya tidak penting dalam program itu, saya tak rasa saya membantu program ini begitu juga sebaliknya jadi adalah lebih sekiranya saya mengundurkan diri.
“Namun disebalik alasan yang saya berikan, Cho Hyo Jin tetap berpegang pada saya dan memberikan kata-kata semangat yang saya boleh lakukan,” jelasnya.
Tambah Suk Jin lagi, Yoo Jae Suk juga turut memberikan semangat kepadanya.
“Jae Suk juga memberikan kata-kata semangat untuk saya terus kuat dan kekal dalam program itu. Saya ingin mengucapkan sekalung terima kasih kepada mereka,” katanya.
Terdahulu, ini merupakan kali pertama Suk Jin membuat pendedahan mengenai keputusannya itu selepas 10 tahun bersama dengan Running Man.
Suk Jin telah bersama dengan Running Man sejak episod pertama yang bersiaran pada 11 Julai 2010 bersama anggota asal mereka iaitu Yoo Jae Suk, Kim Jong Kook, Lee Kwang Soo, HaHa, Kang Gary, Song Ji Hyo dan Song Joong Ki.