Pelakon Zarina Anjoulie mendedahkan gerakan kerja amal dalam membantu golongan kurang bernasib baik terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sudah semakin meluas.
Bahkan, Zarina atau lebih dikenali dengan panggilan Anju itu berkata, usahanya dalam menyalurkan sumbangan kini sudah mencakupi sehingga ke semua negeri.
"Korang nampak apa yang saya post sahaja, apa yang korang tak nampak gerakan ni terlalu besar. Kita buat macam ejen, kita lantik di setiap negeri. Sampaikan satu minggu kita berjaya bantu sehingga 1,000 buah keluarga dan membelanjakan sehingga RM60,000.
"Saya tak ambil duit, sebab tak nak ada isu nanti. Kami ada group Telegram setiap negeri. Jadi, tawakal sahajalah walaupun tak pernah kenal. Kita bagi RM1,000 sini, RM1,000 sini, sampai satu hari pernah RM10,000 agihkan duit daripada sumbangan orang ramai," kongsinya menerusi satu entri di Instagram.
Anju menjelaskan hal tersebut selepas ada pihak yang mendakwa bahawa dia seolah-olah menunjuk-nunjuk kerja amal yang dilakukannya di Instagram.
Katanya, dia berkongsi hal tersebut di Instagram kerana dengan cara itu sahajalah dia dapat mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan akibat tersepit dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Orang yang saya bantu ni bukan orang gelandangan, bukan fakir miskin, bukan anak yatim, tetapi saudara Islam kita yang tengah kesusahan sewaktu PKP ni.
"Mereka adalah orang biasa yang memerlukan bantuan, peniaga kecil, orang bawa lori, orang kerja kontrak. Jadi macam mana saya nak connect dengan mereka, saya cadangkan untuk guna platform media sosial.
"Janganlah cakap saya riak ke apa, saya dah buat charity ni 10 tahun dah," katanya.
Terdahulu, Anju dilihat bergerak aktif dalam menghulurkan sumbangan berbentuk barang keperluan kepada mereka yang memerlukan sepanjang PKP.
Gerakan kerja amal itu menerima respons positif dalam kalangan pengikutnya yang turut sama membantunya meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.
gempak.com