Ketua Pengarahnya, Datuk Saidatu Akhma Hassan berkata, pihaknya sedia maklum dengan respons yang diterima daripada banyak pihak selepas poster-poster tersebut dimuat naik di paltform media sosial Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
"Pihak kami menghebahkan tips harian dan mesej positif dalam media sosial dengan kempen #wanitacegahcovid19 merangkumi pelbagai tema dengan matlamat untuk berkongsi maklumat kepada golongan wanita.
"Pihak kami memohon maaf sekiranya beberapa tips yang dikongsikan tidak bersesuaian dan menyentuh sensitiviti golongan tertentu serta akan lebih berhati-hati pada masa akan datang," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Instagram KPWKM.
Katanya lagi, pendekatan yang digunakan itu adalah untuk berkongsi kaedah dan amalan untuk mengekalkan hubungan positif dalam keluarga dan ketika menjalani fasa bekerja dari rumah.
Terdahulu, beberapa tips bagi mengelakkan pergaduhan antara suami isteri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikongsikan di akaun media sosial rasmi KPWKM menjadi tular.
Tips yang diberikan kemudian menjadi perdebatan dalam kalangan netizen yang menyifatkan sebagai tidak sensitif.
Antara tips tersebut termasuklah meminta isteri agar tidak berleter dan meniru suara kartun Doraemon ketika cuba menegur pasangan. -gempak.com-