,

Kecoh Kuarantin Di Hotel Mewah, Ini Penjelasan Pihak Kerajaan


Laman sosial hari ini kecoh dengan perkhabaran mengenai seorang wanita yang menjalani tempoh kuarantin.

Bukan sebarang kuarantin, wanita itu mendakwa dia akan menghabiskan masa 14 hari di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Petaling Jaya.

Namun begitu, perkongsian wanita ini mendapat maklum balas negatif daripada warganet.

Netizen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap wanita ini yang bercuti ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.

Malah, netizen juga kurang bersetuju apabila golongan ini diberi penginapan mewah berbanding para petugas barisan hadapan





Namun begitu, memetik laporan Bernama, kerajaan tidak pilih kasih dalam soal penempatan pusat kuarantin untuk rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara seperti yang tular dalam media sosial.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan hanya menanggung kos penempatan termasuk makan dan minum setiap individu terhad kepada RM150 sehari.

Untuk pihak yang memilih untuk dikuarantin di hotel yang melebihi kadar itu, mereka perlu menanggung kos selebihnya.

Menteri Pertahanan itu berkata, bagaimanapun mereka hanya diberi pilihan untuk ditempatkan di 45 hotel yang telah ditetapkan kerajaan bagi memudahkan pemantauan.

"Yang kerajaan (pilih) adalah hotel bertaraf tiga atau empat bintang, terserah kepada pengusaha hotel kalau nak beri diskaun.

"Tetapi yang lain dipilih oleh individu yang berminat untuk membayar sendiri, sebab itulah ada hotel-hotel yang kita tentukan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai Perintah Kawalan Pergarakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, pada peringkat awal, hotel dipilih sebagai pusat kuarantin berikutan terdapat permohonan daripada kedutaan asing untuk menempatkan perwakilan mereka yang tiba di negara ini.

"Ini kerana tiada pengecualian kepada mereka yang pulang dari luar negara untuk dikuarantin, termasuk diplomat asing. Kalau mereka balik ke negara kita, mereka juga mesti dikuarantin.

"Jadi mereka minta supaya mereka tinggal di hotel yang akan dibayar oleh kedutaan masing-masing," katanya.

Menurut Ismail Sabri, terdapat juga rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara memilih dikuarantin di hotel dan sanggup membayar kos mereka sendiri.

Walaupun mereka ditempatkan di hotel, prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti di pusat kuarantin lain termasuk tidak dibenarkan sama sekali keluar dari bilik atau menerima pelawat, katanya.

"Jadi kalau mereka memilih hotel sesuka hati tidak mengikut hotel yang disenaraikan, tentu sahaja kami akan menghadapi kesukaran untuk membuat pemantauan. Bayangkan hotel di Petaling Jaya ada lima orang, di Putrajaya ada lima orang, susah untuk kerajaan memantau," katanya.

Sumber: BERNAMA