,

7 Tips Penjagaan Kereta Ketika PKP


Seperti yang anda tahu, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dilanjutkan hingga 14 April ini dan ada kemungkinan yang ia akan terus dilanjutkan.

Ini secara tidak langsung menyebabkan ramai pemilik kenderaan yang akan lebih jarang memandu daripada kebiasaannya, terutamanya mereka yang bekerja dari rumah.

Perkara ini mungkin tidak pernah terlintas di fikiran, tetapi tahukah anda bahawa kenderaan yang ditinggalkan untuk tempoh yang lama akan terdedah kepada kesan-kesan negatif yang boleh menjejaskan ketahanannya atau lebih teruk lagi menyebabkan kerosakan?

Jadi bagi memastikan kenderaan anda sentiasa berada dalam keadaan yang baik, berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian sepanjang tempoh PKP.




Tayar
Bagi kereta yang sudah lama tidak bergerak, tayarnya berisiko terdedah kepada satu keadaan yang dikenali sebagai ‘flat spotting’, di mana permukaan tayar yang menyentuh tanah akan menjadi rata. Ini lebih-lebih lagi apabila tayar itu tidak mempunyai tekanan udara yang cukup.

Brek
Apabila tidak digunakan, karat akan mula terkumpul pada permukaan cakera brek. Selain itu, jika anda menggunakan brek parkir, pad brek mungkin akan melekat pada cakera jika ia dibiarkan terlalu lama. Apa yang boleh dilakukan adalah melepaskan brek tangan sekiranya anda tinggal di kawasan yang rata.

Bateri
Pasti ramai di antara anda yang sudah tahu bahawa kuasa bateri akan menjadi lemah sekiranya kereta tidak dipandu dalam jangka masa lama. Bagi mengelakkan ini daripada berlaku, panaskan enjin setiap hari atau jika perlu, cabut bateri dan simpan di tempat yang sesuai.

Makhluk perosak
Percaya atau tidak, kenderaan yang ditinggalkan berpotensi untuk menjadi ‘rumah’ kepada pelbagai jenis binatang seperti tikus dan ular. Sekali sekala buka hud kereta anda dan periksa jika terdapat kesan gigitan pada wayar atau kabel.

Cat
Pendedahkan kepada cahaya matahari, najis burung, habuk dan sebagainya dalam tempoh jangka masa yang panjang boleh menjejaskan kualiti cat kereta anda. Oleh kerana kedai mencuci kereta tutup sepanjang tempoh PKP, ambil inisiatif untuk basuh sendiri kereta anda atau sekurang-kurangnya guna penutup atau selimut yang sesuai.

Bendalir
Perkara berkaitan bendalir juga boleh menjadi satu isu dalam keadaan semasa. Sebagai contoh, wap air akan terkumpul di dalam tangki minyak manakala ada komponen-komponen tertentu yang akan mengering dan menjadi rapuh sekiranya ia tidak menerima pelinciran yang sepatutnya.

Penyelesaian
Kebanyakan isu yang disebutkan di atas boleh diselesaikan dengan satu cara sahaja iaitu memandu kenderaan anda. Tetapkan peringatan untuk hidupkan enjin dan pandu kereta anda sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh beberapa hari bagi memastikan semua komponen berfungsi seperti yang sepatutnya. Walaupun anda digalakkan untuk kekal di rumah sepanjang tempoh PKP, memandu di kawasan perumahan untuk 20 mint dikira sudah cukup memadai dalam keadaan ini. -gempak.com-