Menerusi satu kenyataan, kementerian itu bagaimanapun berkata cadangan awal untuk menghantar pelajar yang berada di kampus dan kolej kediaman untuk pulang ke rumah masing-masing masih perlu diperhalusi.
“Cadangan ini masih perlu diperhalusi atas nasihat dan saranan KKM serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain arahan terbaharu dikeluarkan dari masa ke semasa.
“Saranan ini dibuat dengan mengambil kira bahawa pergerakan pelajar secara beramai-ramai akan membawa risiko penularan semula COVID-19 yang kini telah mula menunjukkan tanda-tanda pengurangan,” kata kenyataan itu.
Kementerian itu yakin bahawa mahasiswa yang terjejas turut memahami bahawa kerajaan sedang berdepan dengan saat getir dalam menangani pandemik COVID-19.
“Kerajaan juga menghargai pengorbanan dan solidariti yang telah ditunjukkan para pelajar untuk bersama-sama memerangi wabak ini.
“Apa yang diperlukan pada ketika ini ialah sedikit kesabaran untuk terus bertahan berada di dalam kampus sehingga usaha memutuskan rantaian COVID-19 ini berjaya dilaksanakan,” tambah kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, kenyataan sama turut menyebut, mahasiswa disarankan agar terus memanfaatkan masa senggang dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang boleh memberi nilai tambah kepada mereka sepanjang tempoh PKP.
“Pelbagai aktiviti boleh dijalankan bagi membantu meningkatkan prestasi akademik seperti pembelajaran dalam talian, meneroka penggunaan teknologi terkini dalam pembelajaran, melebarkan jaringan profesional di dalam LinkedIn dan komuniti Research Gate dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, Menteri KPT, Datuk Noraini Ahmad, dilaporkan berkata akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pelajar IPT yang berada di kampus pulang ke rumah masing-masing susulan lanjutan tempoh PKP.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun kemudian menasihatkan agar KPT bersabar bagi tempoh beberapa minggu sebelum membuat keputusan itu.
Sumber: Astro Awani