Jelas Fad, dia hanya sekadar berkongsi kenangan kerana rindu dengan arwah.
"Terima kasih Cik Man, tak apa diorang ada pendapat masing-masing.
"Kami bukan merintih, bukan meratap, kami tak mintak dan tak paksa blog atau mana mana-mana media post tentang apa yang kami post.
"Kalau mereka kongsi bermaksud mereka pun rindu akan kenangan dengan Allahyarham.
"Kami kongsi kenangan dengan arwah sebab kami rindu," tulisnya.
Penjelasan itu dibuat menerusi ruangan komen Instagram (IG) milik PU Azman.
Tambah Fad atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, dia menyeru golongan yang tidak suka dengan perbuatannya yang sering berkongsi perihal arwah untuk tidak mengikutinya lagi di media sosial.
"Kalau tak suka boleh block atau unfollow kami. Lagi elok dari dapat dosa sia-sia kan.
"Sekadar berkongsi, tiada niat marah atau benci... Semoga anda semua sentiasa dirahmati Allah," tulisnya lagi.
Terdahulu, PU Azman tampil menjelaskan kekeliruan netizen tentang kesedihan melampau segelintir individu selepas Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, meninggal dunia minggu lalu.
Abam menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada pagi Isnin akibat demam panas.
Pemergian Abam meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi ahli keluarga dan sahabat karibnya, Fad dan Achey. -credit to gempak-