,

Tolong Jauhi Klinik, Hospital! Kata Doktor


Beberapa doktor berkata, pesakit yang menghidap penyakit seperti masalah jantung menjauhi klinik dan hospital kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

Pesakit yang menghidap penyakit seperti kanser, kencing manis serta darah tinggi berisiko tinggi meninggal dunia jika mereka turut dijangkiti Covid-19 dan ia meningkatkan kebimbangan sesetengah pesakit.

Seorang perunding kardiologi, Dr Yap Swee Hien berkata seorang pesakit dengan saluran darah sangat sempit enggan menjalani prosedur angiogram kerana “beliau bimbang akan dijangkiti Covid-19”.

Katanya, tiada jangkitan di hospitalnya, tetapi “kadang-kadang pesakit tidak menyedari mereka lebih cenderung mati akibat serangan jantung berbanding Covid-19”.

Seorang lagi pakar kardiologi, Dr Wong Teck Wee berkata sesetengah pesakit mengelak didiagnosis walaupun terdapat tanda awal mereka mungkin berdepan masalah kesihatan berbahaya.

Katanya, seorang pesakitnya yang mahu menjalani pemeriksaan jantung terlalu bimbang dijangkiti Covid-19 sehingga beliau tidak dapat tidur selama 2 hari.




“Beliau mempunyai beberapa gejala (penyakit jantung), tetapi tidak mendapatkan rawatan sewajarnya,” kata Wong yang juga presiden Persatuan Penuaan Sihat Malaysia.

“Pesakit masih perlu datang menjalani pemeriksaan kerana Covid-19 tidak akan berakhir dalam waktu terdekat,” katanya yang pernah merawat pesakit SARS ketika bekerja di Singapura pada 2003.


Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengesahkan beberapa pesakit yang mengalami serangan jantung dan strok menjauhi hospital baru-baru ini kerana Covid-19.

Presiden APHM, Dr Kuljit Singh berkata, kurang mengunjungi hospital mungkin bermakna ramai pesakit itu mungkin mati di rumah atau sampai ke hospital dalam kecemasan, selalunya kes sedemikian “tidak dapat diselamatkan”.

“Kami bimbang ramai pesakit Malaysia mengabaikan kesihatan mereka dan tidak datang ke hospital kerana mereka takutkan Covid-19, tetapi mereka akan menghadapi masalah lebih besar dengan kecemasan kesihatan yang lebih teruk.

“Bercakap dengan doktor dan pengamal perubatan lain…Mereka akan beritahu anda perkara sama.”

Katanya, rakyat harus mengekalkan temu janji perubatan mereka kerana virus itu hanya dapat dibasmi apabila rawatan atau vaksin siap, proses yang mungkin mengambil bertahun-tahun.

Walaupun terdapat laporan mengenai jangkitan silang Covid-19 di hospital, Kuljit berkata, kes seperti itu berlaku di tahap awal pandemik.

Katanya, protokol dan garis panduan pengasingan ketat yang dilaksanakan untuk membendung penyebaran penyakit itu, menjadikan risiko jangkitan silang tidak mungkin berlaku.

“Kita sekarang agak maju dalam pengurusan Covid-19 dan garis panduan semua hospital sangat ketat.

“Sebenarnya, lebih selamat berada di hospital berbanding di komuniti yang belum disaring.”


Sumber : freemalaysiatoday