,

Syukur Alhamdulillah, Dapat Tunai Solat Jumaat Selepas Dua Bulan


MASJID Al-Kauthar Tawau (MAKT) antara masjid terpilih di Sabah yang melaksanakan solat Jumaat hari ini, selepas lebih dua bulan tidak dibenar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan mendapati pelaksanaan solat Jumaat dilakukan membabitkan 12 jemaah terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid termasuk imam dan bilal.




Pelaksanaannya juga mengikut garis paduan ditetapkan termasuk melakukan pemeriksaan suhu, mencatatkan butiran peribadi serta mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Pengerusi MAKT, Khalid Tahir berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan Mufti dan Majlis Fatwa Negeri Sabah yang membenarkan solat berjemaah dan Jumaat di masjid dan surau terpilih berkuat kuasa hari ini.

"Kita bersyukur dan berterima kasih atas kebenaran melaksanakan solat Fardu Jumaat pada hari ini.

"Pihak pengurusan masjid mengambil langkah perlu termasuk menjalankan proses nyah kuman di seluruh kawasan masjid selain mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya ditemui.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau, Kahar Sundu berkata, selain terdapat 134 buah masjid terpilih di daerah ini turut diberi kebenaran untuk melaksanakan solat berjemaah dan Jumaat.

Sumber : HMetro