,

Yoon Hak Supernova Positif Covid-19


ANNYEONGHASEYO! Baru-baru ini industri hiburan Korea Selatan dikejutkan apabila penyanyi Yoon Hak yang juga anggota kumpulan SUPERNOVA disahkan positif Covid-19.

Dia disahkan dijangkiti virus itu pada 1 April lalu selepas pulang ke Korea Selatan dari Jepun.

Dua wanita yang pernah menjadi kontak rapat dengan Yoon Hak masing-masing dijangkiti virus itu pada 2 April dan 6 April lalu.

Wakil pengurusan Yoon Hak turut mengesahkan berita terbabit, namun menafikan penyanyi itu berkunjung ke pusat hiburan tempat dua wanita yang dikenali sebagai A dan B bekerja.






“Memang benar A yang bekerja di pusat hiburan itu disahkan positif selepas bertemu Yoon Hak, namun mereka berjumpa di lokasi lain. Yoon Hak bukan berkunjung ke pusat hiburan seperti didakwa,” katanya.

Penyanyi terbabit dilaporkan pulang dari Jepun pada 24 Mac lalu dan mula mengalami simptom pada 27 Mac lalu.

Dia kemudian ke hospital pada 31 Mac lalu sebelum disahkan positif selepas menjalani ujian.

Yoon Hak kini menerima rawatan di sebuah pusat perubatan disebabkan simptom ringan dialaminya itu.

Bagaimanapun, pada masa sama dia menerima kritikan hebat disebabkan tidak melakukan kuarantin diri sebaik pulang dari luar negara.

Laporan lanjut juga mengesahkan wanita B turut dijangkiti virus itu walaupun dia melakukan kuarantin diri selepas A disahkan positif.

Disebabkan itu, timbul dakwaan bahawa wanita B ada berjumpa Yoon Hak dan mungkin berjangkit daripadanya juga.

Bagaimanapun, menurut sumber pihak berkuasa dari daerah Gangnam, Seoul, berlaku kesilapan ketika merekodkan mengenai kes terbabit.

Wanita B disyaki mendapat jangkitan itu daripada wanita A.

Wanita A dilaporkan pergi bekerja seperti biasa di pusat hiburan berkenaan pada 26 sehingga pagi 27 Mac lalu.

Dia dikatakan tidak menyedari dijangkiti virus itu dan hanya melakukan kuarantin diri selepas mula mengalami simptom Covid-19 pada 29 Mac lalu.

Menurut KBS, pihak berwajib di Gangnam serta-merta melakukan tinjauan ke atas kakitangan serta pengunjung pusat hiburan terbabit yang berada di sana ketika syif wanita A bekerja.

Lebih 100 kakitangan dan 500 pengunjung dikatakan berada di premis terbabit.

Terdahulu, Yoon Hak dimasukkan hospital selepas positif virus berkenaan.

Pengurus, penata rias, dan kakitangan lainnya turut menjalani ujian namun dilaporkan bebas daripada jangkitan itu.

Menurut agensinya, penyanyi terbabit tidak mengalami sebarang simptom pada mulanya sebaik tiba di Korea Selatan.

Bagaimanapun, simptom itu beransur timbul menyebabkan dia terus ke hospital untuk menjalani ujian.

Yoon Hak sekali gus menjadi selebriti pertama dari negara itu positif Covid-19.

Selain dia, kakitangan dari Chungha dan EVERGLOW adalah antara yang diuji positif dalam kalangan penggiat seni mereka.

SUMBER: HMetro